mk-logo
Berita
Saari: Adakah Ismail Sabri berniat buruk terhadap kerajaan Selangor?
Diterbitkan:  Dec 25, 2021 9:48 PM
Dikemaskini: Dec 26, 2021 1:21 AM

Adun Hulu Kelang Saari Sungib menyeru mangsa banjir di Selangor yang merasa 'dikhianati' mengambil tindakan undang-undang di mahkamah terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Saari mendakwa Ismail tidak menghiraukan rayuan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari "memohon bantuan segera ketika banjir semakin teruk" pada malam Jumaat 17 Disember lalu.

"Apakah terdapat niat jahat atau mala fide Ismail Sabri terhadap kerajaan Selangor?

"Dengan itu, saya menyeru rakyat Selangor terutama yang menjadi mangsa banjir ini mempunyai bukti-bukti untuk membuat dakwaan mala fide dan pengkhianatan Ismail Sabri terhadap mereka di mahkamah," katanya pada satu kenyataan semalam.

Terdahulu, Amirudin pada 21 Dis dipetik FMT berkata dia telah menghubungi perdana menteri dan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memohon kerahan tentera dan aset dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir.

Menteri besar Selangor itu menafikan dakwaan dia keberatan untuk melibatkan tentera dalam usaha mengatasi bencana banjir di Selangor.

“Tidak timbul isu keberatan…kita (kerajaan negeri) sedar kapasiti kita,” katanya.

Jelas Amirudin, dia menghubungi Ismail pada 8.30 malam Jumaat dan Hishammuddin pada malam yang sama.

Bah besar yang melanda beberapa negeri pada hujung minggu lalu telah meragut 46 nyawa setakat 4 pagi tadi, dengan lima lelaki di Pahang dilaporkan masih lagi hilang.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan hari ini daripada jumlah itu, 25 kematian dicatatkan di Selangor membabitkan 17 lelaki dan lapan wanita, manakala di Pahang sejumlah 18 kematian membabitkan 12 lelaki, empat perempuan dan dua kanak-kanak lelaki dilaporkan.

Katanya di Kelantan pula dua mayat lelaki dan satu mayat kanak-kanak perempuan telah ditemukan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS