Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantuan banjir: Orang Asli Lenggeng nafi dakwaan terabai, kelaparan

Penduduk kampung Orang Asli yang dilanda banjir di Lenggeng, Negeri Sembilan hari ini menyangkal dakwaan sebuah laman web yang mendakwa mereka diabaikan kerajaan negeri dan dibiarkan kelaparan.

Sam Anak Chen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Lenggeng berkata laporan itu sama sekali tidak benar kerana kampung terbabit telah diberikan bantuan daripada banyak pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat serta wakil rakyat kawasan itu.

“Saya nak beri penjelasan, berita yang mengatakan kami terputus bekalan makanan itu, tidak benar.

“Penduduk kampung di sini telah menerima sumbangan dari ramai termasuk ahli parlimen Seremban dan ADUN Lenggeng, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO.

“Jadi, tidak timbul isu kami tidak mendapat bantuan,” katanya melalui mesej video yang dirakam semasa lawatan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke awal hari ini.

Portal berita SuaraTV pada Khamis didakwa memetik Sam dalam melaporkan keluh kesah masyarakat orang Asli di Seremban yang berhadapan ketiadaan makanan bermasak.

Portal berita itu juga, turut menyiarkan satu lagi artikel yang menunjukkan Umno Negeri Sembilan menghantar bantuan kepada penduduk kampung, pada hari yang sama.

Sementara itu, seorang wanita yang juga penduduk kampung terbabit mendakwa diminta untuk berlakon sambil menangis bagi menggambarkan keadaan dirinya yang dalam kesusahan ketika itu untuk rakaman mereka.

"Hari itu ada orang minta saya menangis. Tapi saya tak boleh menangis. Kalau ada orang meninggal, bolehlah saya menangis, tapi tak ada orang meninggal, macam mana saya nak menangis.

"Tetapi tentang (bantuan) makanan memang ada, cuma lambat. Kalau pukul 12 tengahari waktu makan itu dia sampai dalam jam 1.00 ke 1.30 petang, macam itulah, tapi makanan memang ada," kata Salimah Pajan, 49 memberitahu Loke ketika sesi lawatannya ke situ.

Mengulas isu itu, Loke menyatakan rasa kesal dengan dakwaan tersebut yang disifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas dan fitnah selain cuba mengambil kesempatan terhadap nasib yang menimpa Orang Asli terbabit.

Bagaimanapun Loke berkata dia mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan kepada masyarakat Orang Asli di perkampungan berkenaan selain menggesa pihak terbabit tidak menyalahgunakan peluang untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS