Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persaingan dalam Umno: Bagaimana Zahid guna PRN kepung kuasa di pusat

ANALISIS | Spekulasi bertiup kencang Johor mungkin negeri seterusnya yang akan mengadakan pilihan raya selepas Melaka dan Sarawak.

Penganalisis politik berpendapat ia mungkin dan turut mengalu-alukan perkembangan pilihan raya nasional dan negeri diadakan secara berasingan.

Pergelutan dalaman Umno mungkin mencetuskan pilihan raya Johor, kata saintis politik Wong Chin Huat.

"Umno tidak menyasarkan PKR, tetapi Bersatu. Ia mahu menghapuskan Bersatu melalui pilihan raya negeri," katanya.

Wong berkata demikian pada forum maya berjudul "Tinjauan Negeri Melaka dan Sarawak: Penanda Aras untuk pilihan raya Umum seterusnya?" yang berlangsung Rabu lalu.

"Tambahan pula, mereka (kem presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi) mungkin tidak akan bertelagah dengan Ismail Sabri Yaakob jika dia berkeras untuk kekal (sebagai perdana menteri) sehingga tahun depan. Tetapi mereka (kem Zahid) masih boleh mengepung (kekuasaan di peringkat) persekutuan dengan memanggil pilihan raya di negeri-negeri ini.

"Dengan dua atau tiga negeri membubarkan DUN mereka dan mengadakan pilihan raya, persekutuan mungkin perlu mengikutnya," katanya.

Wong berkata pandemik Covid-19 menjadi sebab paling ketara di sebalik penangguhan pilihan raya.

"Tetapi apabila semua orang sudah biasa (pilihan raya negeri semasa pandemik), parlimen juga perlu dibubarkan," jelasnya.

Wong berkata pengundi mendapat manfaat apabila pilihan raya nasional dan negeri diadakan secara berasingan kerana ia akan menjadi lebih sukar bagi parti politik, yang perlu mendapatkan mandat daripada pengundi, untuk melakukan sesuatu yang tidak baik.

Jelasnya lagi, suatu yang "tidak normal" bagi Malaysia untuk menjalankan pilihan raya nasional dan negeri secara serentak.

"Malah Australia menetapkan pilihan raya persekutuan dan negeri tidak boleh diadakan pada hari yang sama. Jadi, ini peluang untuk kita kembali normal. Mungkin bunyinya seperti kita mahu (negara) 'kucar-kacir', tetapi perebutan kuasa tetap akan datang bila ada demokrasi.

"Apabila persekutuan dan negeri mengadakan pilihan raya serentak, pengundi berkemungkinan terpengaruh dengan isu-isu besar di seluruh negara, menyebabkan jenis parti politik yang sama berkuasa. Jadi sukar untuk mengadakan semak dan imbang," katanya.

Forum maya itu anjuran bersama oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan Pocket Times New, sebuah portal video yang dikaitkan dengan Sin Chew Daily.

Persaingan terbuka bagus

Selain Wong, pengurus penyelidikan Merdeka Center Tan Seng Keat dan pensyarah kanan Universiti Malaya Ngu Ik Tien turut bersetuju dengan idea mengadakan pilihan raya peringkat nasional dan negeri secara berasingan.

Tan berkata pilihan raya di Johor suatu yang mungkin berlaku, terutamanya berikutan kematian Adun Kempas Bersatu, Osman Sapian. Jurang jmlah kerusi DUN yang dikuasai kerajaan dan pembangkang semakin rapat.

Susulan kematian bekas menteri besar itu, DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi kini mempunyai 14 wakil Umno, Bersatu (11), MIC (dua) dan PAS (satu).

Ini menjadikan 28 kerusi yang dikuasai kerajaan manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi.

Gambar fail, bekas MB Johor Allahyarham Osman Sapian.

Tan berkata persaingan terbuka adalah baik kerana menurutnya, politik Melayu bukan lagi mengenai perseteruan dalaman Umno tetapi kini telah menjadi pertandingan bakat, sumber dan idea antara parti-parti.

"Persaingan terbuka dalam politik membolehkan kita meneliti proses persaingan, dan perkara yang lebih rendah akan dihapuskan," tambahnya.

Pun begitu, Ngu merasakan tidak mungkin pilihan raya berasingan bagi kerusi persekutuan dan negeri akan menjadi trend di semenanjung.

"Di Sarawak, pilihan raya persekutuan dan negeri diadakan secara berasingan. Kerajaan Sarawak merasakan ia akan kehilangan peluang untuk kekal bersama kerajaan persekutuan kerana orang ramai akan melepaskan kekecewaan mereka terhadap kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

"Tetapi saya tidak fikir ada sentimen sedemikian di Semenanjung. Tidak ada isu identiti di sini. Contohnya, Selangor akan menentang kerajaan pusat hanya kerana menjadi (jatidiri) Selangor.

“Oleh itu, kerajaan pusat akan memilih masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya bagi memenangi pilihan raya persekutuan dan negeri,” katanya.

"Tetapi sebagai rakyat biasa... jika pilihan raya diadakan secara berasingan, maka kerajaan negeri akan memberi maklum balas kepada kami (pengundi) sekali lagi dan memperuntukkan satu lagi pusingan peruntukan kepada kami, yang lebih bermanfaat kepada rakyat," tambahnya.

Setakat ini, terdapat tiga pilihan raya negeri - Sabah, Melaka dan Sarawak - selepas pilihan raya umum 2018.

Pilihan raya Sarawak diadakan selepas tempoh penggubalan dewan undangan negeri tamat pada Jun, manakala Sabah dan Melaka terpaksa mengadakan PRN masing-masing pada September 2020 dan November berikutan rampasan kuasa politik.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS