Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekalan sumbangan Mafi untuk mangsa banjir musnah akibat banjir
Diterbitkan:  Dec 24, 2021 6:25 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Bekalan sumbangan makanan bagi program Mafi Prihatin yang disimpan di gudang penyimpanan Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Dengkil, musnah akibat banjir.

Pengarah Fama Selangor Aiada Abdul Rashid berkata bekalan barangan seperti beras, tepung dan bihun tiba di pusat operasi itu pada Jumaat lepas (17 Dis) untuk dipek ke dalam kotak Mafi Prihatin namun tidak dapat diselamatkan setelah pusat itu dinaiki air setinggi lima kaki akibat hujan lebat pada sebelah malamnya (Jumaat).

"Barang seperti makanan dalam tin dan minyak masak walaupun nampak basah pada luarannya, kalau kualiti tidak terjejas, akan dihantar ke kilang bagi pembungkusan semula," katanya kepada Bernama hari ini.

Sumbangan Mafi Prihatin dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bagi membantu mereka yang terkesan akibat musibah yang melanda negara seperti pandemik Covid-19 dan banjir, selain menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19.

Selain gudang penyimpanan setinggi dua tingkat yang terjejas akibat banjir, pusat operasi berkenaan yang turut menempatkan pejabat dan kedai Agrobazaar juga mengalami kerosakan seperti komputer, perabot, telefon dan produk usahawan tempatan dalam kedai, katanya.

Dengkil adalah antara kawasan yang terjejas di Selangor akibat banjir sejak Sabtu lepas dan tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja pembersihan mula dilakukan penduduk di kawasan yang telah beransur pulih.

Menurut Aiada, kerja-kerja pembersihan pusat operasi berkenaan giat dijalankan sejak dua hari lepas oleh sukarelawan dari Fama Johor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan ibu pejabat Fama, dan terhenti sementara semalam kerana ketiadaan bekalan air.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS