Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Klang: Bantuan RM1,000 macam makanan ayam pada mangsa banjir

Kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif bantuan untuk mangsa banjir, seperti moratorium pinjaman, pinjaman tanpa faedah untuk membeli barangan rumah, dan bantuan tunai.

Bagaimanapun, bantuan tunai RM1,000 bagi setiap keluarga dianggap sebagai tidak mencukupi untuk membantu mangsa banjir dan seorang ahli parlimen menyifatkan jumlah itu sebagai "makanan ayam" (terlalu kecil).

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago - yang kawasannya turut dilanda banjir hujung minggu lalu - berkata ramai mangsa telah kehilangan segala-galanya.

“Bantuan RM1,000 ini makanan ayam... ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah mereka walaupun lima peratus.

"Dalam beberapa hari kebelakangan ini kami telah turun padang dan mendapati ramai orang telah kehilangan segala-galanya... perabot mereka, dokumen peribadi, peralatan dapur, segala-galanya.

"Paling teruk, ramai juga yang kehilangan wang. Ramai yang sudahpun menganggur kerana wabak Covid-19," katanya kepada Malaysiakini.

Jelas Santiago, ramai yang ditemuinya turut trauma dengan banjir, takut untuk tidur dan menangis melihat hujan.

Bagi meringankan beban mereka dari segi kewangan, Santiago mencadangkan agar bantuan itu dinaikkan kepada minimum RM10,000 setiap keluarga, dengan pilihan bantuan tambahan mengikut kes.

Katanya, kerajaan harus melihat ini bukan saja sebagai pakej bantuan yang berterusan, tetapi juga sebagai satu cara untuk melonjakkan ekonomi mereka yang terkesan.

Santiago turut mencadangkan kerajaan supaya memberi bantuan sewa RM1,500 kepada peniaga yang terjejas akibat banjir selama dua bulan, memandangkan kesan teruk dialami perniaga kecil.

Pada masa ini, kerajaan memberi RM1,000 bagi setiap keluarga yang terjejas akibat banjir, dan RM5,000 kepada waris mereka yang terkorban dalam bencana alam itu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bahawa mangsa banjir boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga enam bulan, dan pinjaman tanpa faedah sehingga RM5,000 daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membeli barangan rumah.

Santiago tidak keseorangan dalam menyeru kerajaan supaya meningkatkan pakej bantuan tunai.

Ramai turut membuat gesaan sama dengan menunjukkan bahawa kos bagi menggantikan perabot dan perkakas asas kediaman menelan belanja lebih daripada RM1,000.

Hantaran di Twitter yang mendesak agar bantuan dinaikkan kepada RM5,000 telah diciap ulang lebih 3,500 kali setakat berita ini ditulis.

Dalam perkembangan berkaitan, terdapat juga kekeliruan dan perkara tidak jelas mengenai cara memohon bantuan tunai banjir.

Seorang penduduk Klang, yang hanya ingin dikenali sebagai Wang, berkata ramai pada mulanya percaya mereka perlu membuat laporan polis untuk memohon bantuan.

Katanya, lebih 60 orang sedang menunggu di balai polis Taman Sentosa ketika dia ke sana pada Rabu - kebanyakan mereka mahu membuat laporan bahawa rumah mereka telah dinaiki air.

"Saya menunggu hampir tiga jam (giliran untuk membuat laporan), sebelum seseorang memaklumkan kepada orang ramai bahawa laporan polis tidak diperlukan untuk memohon bantuan RM1,000 itu," katanya kepada Malaysiakini.

The Vibes turut melaporkan satu lagi kejadian sama pada Selasa apabila mangsa banjir percaya mereka perlu membuat laporan polis sebelum memohon bantuan.

Semakan di media sosial mendapati siaran Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenai proses permohonan bantuan masih belum dikongsi secara meluas.

Menurut FAQ Nadma pada hari Rabu, mangsa banjir yang telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara (PPS) akan diproses permohonan bantuan mereka di sana.

Mereka yang tidak dipindahkan ke PPS, perlu memohon melalui pejabat daerah atau ketua masyarakat.

Hanya ketua isi rumah sahaja dibenarkan membuat permohonan.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, bagaimanapun, telah menimbulkan persoalan tentang berapa kali mangsa banjir boleh mendapat bantuan tunai.

Ini selepas Ismail berkata bantuan akan diberikan untuk setiap kejadian banjir, manakala Nadma berkata ia hanya sekali bagi setiap "musim bencana".

Yeoh berkata percanggahan dalam isu bantuan ini boleh membawa kepada penyalahgunaan.

"SOP yang bercanggah, jawapan yang tidak jelas, kekeliruan tentang cara memohon hanya akan mengakibatkan penyalahgunaan dan hanya banyak pembaziran jika mangsa sebenar tidak mempunyai akses kepada dana sedemikian," katanya kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS