Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembukaan semula sekolah ditangguh seminggu
Diterbitkan:  Dec 24, 2021 2:33 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan yang sepatutnya bermula pada 3 Jan atau 4 Jan tahun depan ditangguhkan selama seminggu.

"Mengambil kira kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa dan guru-guru yang secara langsung atau tak langsung, juga mellibatkan sekolah-sekolah sama ada sebagai pusat pemindahan sementara ataupun sekolah yang terjejas teruk, maka KPM membuat keputusan sesi persekolaha penggal ketiga 2021-2022 ditangguhkan seminggu.

"Maknanya sesi sekolah akan bermula pada 9 Jan 2022 bagi negeri kumpulan A, dan 10 Jan 22 bagi kumpulan B," kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Kata menteri kanan itu, maklumat lanjut mengenai hal berkenaan akan dikeluarkan melalui kenyataan media KPM sebentar lagi.

Pengumuman itu dibuat melalui klip video pendek yang dimuat naik di Facebook Radzi petang ini. 

Untuk rekod sekolah yang berada dalam kumpulan A melibatkan negeri yang cuti hujung minggunya jatuh pada Jumaat dan Sabtu, iaitu Johor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Sekolah kumpulan B pula melibatkan Perlis, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Tambah Radzi, KPM amat cakna dengan nasib dan kebajikan pada guru, murid dan ibu bapa dalam konteks situasi banjir semasa.

"Kita sedar ini satu tempoh yang amat sukar bagi semua pihak dan KPM memahami bahawa mereka memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum dapat mulakan sesi persekolah penggal ketiga.

"Kita doakan yang terbaik untuk mangsa banjir di seluruh negara dan insya-Allah sebarang keputusan dibuat KPM akan sentiasa mengambil berat kebajikan murid, ibu bapa dan guru," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS