Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli minta bantuan NGO, Jakoa lepas JKM didakwa 'tak peduli'

Kira-kira 500 Orang Asli Suku Temuan di Bukit Tadom, Banting, Selangor meminta bantuan daripada NGO tempatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Ini selepas mereka dikatakan telah dinafi bantuan banjir daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tok Batin Hadi Jembik, 50, ketika dihubungi berkata pegawai JKM di lapangan memaklumkan mereka tidak layak menerima sebarang pampasan atau bantuan kewangan kerana enggan berpindah ke pusat perlindungan sementara banjir (PPS).

“Mereka (JKM) kata tempat kami putuskan untuk berpindah itu bukan PPS rasmi, jadi kami tidak boleh mendapatkan sebarang bantuan kewangan,” kata Hadi kepada Malaysiakini.

Dia berkata keadaan bertambah baik hari ini dengan paras air semakin surut, hanya tinggal air di kawasan rumah mereka, yang terletak dalam daerah Kuala Langat yang antara paling teruk dilanda banjir hujung minggu lalu.

Jelasnya, terdapat 217 ketua isi rumah di kampung itu dan mereka semua bersetuju untuk berpindah ke lokasi lebih tinggi yang lebih dekat dengan kediaman masing-masing, berbanding berpindah lebih jauh ke PPS yang diwartakan di SMK Sungai Manggis.

“Kami juga tidak mahu bercampur dengan yang lain. Pernah dulu orang kata Orang Asli kotor.

“Arwah ayah saya pun tok batin. Saya ingat dia pernah cakap lain kali banjir, pindah ke bukit saja.

“Jadi kali ini kami semua memutuskan untuk tidak berpindah ke PPS,” katanya.

Di tapak sementara itu, Hadi berkata mereka menerima bantuan daripada NGO yang menyediakan makanan dan bekalan lain.

Sementara itu, Jakoa juga telah menyediakan tangki air, makanan kering dan khemah untuk perlindungan.

“JKM cuma kata kami tak dapat apa-apa pampasan.

“Semalam selepas saya marah mereka mengedarkan tiga ikat tilam,” tambah Hadi.

Selain Selangor, masyarakat Orang Asli di Pahang juga antara mereka yang tinggal di pusat perlindungan sementara, dengan bantuan sukarelawan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS