mk-logo
Berita
Saifuddin mahu sidang khas parlimen bincang bencana banjir
Diterbitkan:  Dec 24, 2021 11:23 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menggesa agar kerajaan mengadkaan sidang khas parlimen bagi membincangkan isu semasa yang mendesak dihadapi rakyat sekarang.

Katanya, dalam tempoh kira-kira seminggu lalu rakyat Malaysia khususnya di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang sangat terkesan akibat bencana banjir.

"Begitu ramai yang telah kehilangan harta benda, malah ada juga orang tersayang," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada masa sama, kata ahli parlimen Kulim-Bandar Baru itu, semua pihak melihat bagaimana orang awam - termasuk warga asing - bangkit menghulurkan bantuan antara satu sama lain ketika gerak kerja pihak kerajaan tidak berjalan lancar akibat lemahnya penyelarasan di peringkat pusat.

Apa yang berlaku itu, kata Saifuddin, adalah menjadi pengajaran buat semua pihak.

"Saya menggesa agar satu sidang khas parlimen diadakan khusus untuk membahas isu banjir dan kesiapsiagaan jentera kerajaan demi semua ahli keluarga Malaysia yang sangat terkesan," katanya.

Banjir besar melanda beberapa negeri pada hujung minggu lalu dengan mengakibatkan pelbagai kemusnahan serta kerugian.

Setakat semalam seramai 39 orang disahkan meninggal dunia di pelbagai negeri akibat bencana tersebut dan ramai yang masih hilang.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Dis lalu mengakui tindak balas kerajaan bagi mengurus dan menangani banjir berkenaan adalah lemah, namun berjanji untuk menambah baik prestasi tersebut.

Kata Saifuddin kejadian hujan tidak berhenti selama beberapa hari diikuti kejadian tanah runtuh dan banjir besar seharusnya mengingatkan semua pihak bahawa perubahan iklim itu memang benar dan mampu mendatangkan kesan luar jangka.

Dengan pelbagai isu dan ancaman dialami kini, katanya, kerajaan wajar melaksanakan prinsip tadbir urus sosial alam sekitar (ESG) sebagai dasar utama pembangunan.

"Oleh itu, agar Malaysia tidak ketinggalan maka parlimen perlu segera meneliti segala undang-undang sedia ada berhubung alam sekitar, penjagaan sungai, dan pembangunan bandar yang mampan untuk melihat jauh ke hadapan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS