Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mangsa banjir terpaksa bayar sendiri pelupusan barang, kurang bekalan air

Walaupun banjir akibat hujan lebat hujung minggu lalu kebanyakannya telah surut, penduduk di Bentong dan Karak, Pahang masih berdepan banyak kesukaran dalam membina semula kehidupan.

Antara cabaran terbesar adalah membuang barang yang telah rosak ekoran rumah dinaiki air, serta membersihkan rumah daripada lumpur dan selut di tengah kurangnya bekalan air bersih.

Wakil rakyat telah menggesa pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mempercepat kerja pembersihan, namun diberitahu ia tak dapat dilakukan ekoran kekurangan tenaga kerja.

Ketika Malaysiakini berkunjung ke kawasan ini pada Rabu lalu, kelihatan timbunan sampah sarap di depan rumah mangsa, yang berisiko mengancam kesihatan mereka.

Ekoran kekurangan bantuan daripada Majlis Daerah Bentong, sejumlah mangsa banjir terpaksa menyewa sendiri tong sampah Roro yang sering dijadikan tempat buangan sisa pembinaan, dan membayar sendiri pekerja untuk membersihkan bahan buangan.

Yew Siew Ying, yang tinggal di Kampung Kemansur dekat Bentong, memberitahu Malaysiakini tong sampah itu disewa dengan harga RM250. Beberapa kali perjalanan mengangkut tong sampah itu diperlukan untuk membuang bahan buangan di rumahnya, yang kebanyakannya buku dan barang keperluan harian yang rosak dek air banjir.

Yew Siew Ying

“Tidak pernah terlintas di fikiran kami yang air akan naik sehingga lima kaki, dan ia berlaku dengan tidak semena-mena, kami tiada cukup masa untuk alihkan barang.

“Sedekad lalu, kami telah ubah suai rumah dengan naikkan lantai setinggi tiga kaki, tapi ia tak memadai,” kata wanita berusia 68 tahun itu.

Ramai penduduk lain di situ menggunakan tong sampah sama untuk membuang barangan yang rosak. Namun ada juga yang mendakwa penyewa mengeambil kesempatan atas musibah yang menimpa.

“Penduduk kampung menunggu pihak majlis daerah untuk mengambil sampah ini. Sudah banyak hari ia di luar sehingga hampir keluarkan bau busuk.

“Tambahan pula, banyak kereta dan motosikal penduduk juga rosak akibat banjir, jadi mereka tak boleh angkut sendiri sampah. RM250 untuk sewa tong sampah bukannya murah, dan kami rasa seperti dieksploitasi,” kata Chia, 40, yang tinggal di kampung sebelah, Kampung Baru Perting.

Wanita berusia 40 tahun itu berharap PBT akan menghantar pekerjanya tak lama lagi untuk mempercepatkan kerja pembersihan.

Malaysiakini turut mengikuti Adun Bilut, Lee Chin Chen ketika dia memantau kawasan ini. Sebaik saja melihatnya, perkara pertama yang ditanya penduduk kampung adalah bila PBT akan membersihkan sampah-sarap.

“Saya sudah maklumkan dan akan buat susulan dengan mereka,” balasnya.

Lee Chin Chen

Lee memberitahu Malaysiakini dia telah menghubungi Majlis Daerah Bentong beberapa hari lepas, dan diberitahu secara umum yang masalah sampah dan kelodak akibat air banjir akan diselesaikan dalam masa dua atau tiga hari lagi.

“Pihak majlis kata mereka tak cukup orang dan jentera, atau terlalu banyak kawasan terjejas. Siapa tahu yang berapa lama kita perlu tunggu sebelum mereka dapat hantar bantuan?”

Dia berkata banjir yang berlaku amat buruk dan sumber PBT yang terhad tidak memadai untuk mengendalikan situasi yang berlaku.

Bagaimanapun dia berkata pihak berkuasa telah membuka tapak pelupusan sampah lama berdekatan Kampung Lebak untuk mangsa banjir membuang sendiri sampah dan barangan yang rosak.

Satu lagi masalah besar yang dihadapi mangsa banjir adalah untuk mendapatkan air bersih untuk membersihkan rumah mereka. Ramai yang merungut tentang tekanan air rendah.

“Bekalan air agak perlahan. Saya hanya boleh bersihkan rumah sedikit demi sedikit,” kata penduduk Kampung Baru Perling, Kong Siw Yan, 55.

Ketika ditemui, dia sedang membersihkan perabotnya yang penuh dengan lumpur di luar rumah.

Di Karak, dengan bekalan air belum pun pulih, penduduk dilihat mengambil air dari satu saliran air di tepi jalan, dengan menggunakan mesin pam air sementara.

Di jalan yang menghubungkan Karak dengan Kuala Lumpur, kelihatan lebih 10 orang sedang memenuhkan baldi masing-masing menggunakan pam itu, sebelum membawanya ke lori dan pacuan empat roda.

Menurut seorang sukarelawan di sana, baldi-baldi tersebut akan dibawa ke kawasan perumahan yang terjejas untuk membantu penduduk membersih rumah.

Sementera itu, di Taman Karak Indah, ramai penduduk yang masih sibuk membersihkan rumah mereka daripada lumpur.

Antaranya Muhammad Haizol Ghani, 36, yang tinggal di kawasan agak rendah di situ. Dia turut berkongsi pengalamannya menyelamatkan diri daripada banjir yang kian meninggi.

Haizol (kiri)

Menurut Haizol, dia dan keluarganya meninggalkan rumah ketika tengah malam, di saat air mula meninggi. Apabila kembali pada malam berikutnya, dia melihat kesan air setinggi tingkap rumah.

“Saya baru beli rumah ini beberapa tahun lepas. Saya tak jangka kali ini banjir lebih teruk berbanding banjir 1971 (di Kuala Lumpur),” katanya kepada Malaysiakini.

Seorang jirannya kemudian mendekati Malaysiakini untuk memberitahu yang Haizol telah menyelamatkannya daripada banjir.

“Saya cukup berterima kasih kepadanya. Dia yang tolong saya lari (dari banjir pada Sabtu lalu).

“Pada masa itu air sudah di paras dada. Kalau tidak, mungkin malam itu saya terpaksa duduk di bumbung kereta atau berpegang pada tiang,” kata wanita itu yang enggan dinamakan.

Terdahulu, penduduk Karak dilaporkan berdepan gangguan air dan tenaga elektrik. Kedua-duanya kembali pulih apabila air mula surut.

Selasa lalu, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) berkata kerja pembersihan sedang dibuat di loji rawatan air untuk memulihkan semula bekalan kepada penduduk.

'Penduduk bukan mendesak'

Adun sabai A Doray Rajoo berkata, dia berhubung setiap hari dengan Paip untuk mendapat kemas kini usaha memulihkan bekalan air.

“Kita perlukan air. Saya hubungi Paip setiap hari dan mereka ada sebab mereka sendiri (berhubung gangguan bekalan), tetapi kita kena beri penjelasan kepada orang ramai.

“Mereka adalah mangsa dan dalam keadaan sekarang, sukar untuk mereka terima penjelasan kita.

“Sudah menjadi tugas kita dan juga kerajaan untuk memudahkan mereka dalam situasi ini,” katanya.

Dia berkata, penduduk bukannya bersikap mendesak tetapi merasa kecewa kerana tidak dapat membersihkan rumah mereka.

“Lagi lama masalah ini berlanjutan, bau akan jadi makin busuk, dan risiko terhadap kesihatan meningkat,” katanya lagi.

Katanya, pihak pembangkang telah menggesa kerajaan untuk membaik pulih loji rawatan air yang sudah lama tetapi ia tidak berlaku.

Pada 20 Disember lalu, Paip berkata sebanyak 13 loji rawatan air di negeri itu tidak dapat beroperasi akibat banjir

Setakat ini, korban akibat banjir di Selangor dan Pahang adalah seramai 39 orang.

Menurut Bernama, jumlah mangsa banjir di Pahang mencecah 37,356 orang dengan 264 pusat penempatan sementara (PPS) telah dibuka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS