mk-logo
Berita
'Sangkut' di loteng lebih 9 jam pengalaman banjir tak dilupa
Diterbitkan:  Dec 22, 2021 8:28 PM
Dikemaskini: 12:28 PM

Berada di loteng selama lebih sembilan jam antara pengalaman tidak boleh dilupakan Syuhaidah Muhammad Anuar apabila rumah keluarganya di Inderapura di Kuantan, dinaiki air secara mendadak pada awal pagi Ahad lepas.

Menceritakan detik cemas itu, Syuhaidah, 30, berkata beliau dan keluarga hanya menyedari kawasan perumahannya mula dinaiki air selepas terdengar kekecohan di luar rumah sebelum dia bertindak memindahkan kenderaan ke tempat yang lebih selamat.

“Apabila pulang, paras air tiba-tiba meningkat dengan mendadak sehingga paras pinggang menyebabkan kami terus memanjat loteng dan tidak berani untuk meredah banjir.

"Sepanjang berada di loteng, pelbagai bunyi kedengaran seperti bunyi perabot jatuh, salakan anjing jiran dan penggera kereta silih berganti.

“Malah dari loteng, kami dapat melihat peti sejuk tumbang selain pelbagai barangan termasuk sofa terapung.

"Kami tidak berani meredah banjir yang berlaku pada pukul 1 pagi kerana bimbang arus kuat selain keadaan cuaca yang gelap," katanya semasa ditemui di Kuantan hari ini.

Syuhaidah yang berkerja sendiri berkata mereka akhirnya dapat meninggalkan rumah pada 10 pagi dengan menumpang bot penduduk untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang di Kuantan.

Beliau bagaimanapun bersyukur dengan keputusan bapanya untuk membina sebuah loteng yang disifatkannya ‘sangat membantu’ selepas mereka sekeluarga mengalami banjir buat pertama kali pada 2013.

Seperti dijangka, Syuhaidah dan keluarga yang pulang petang semalam berkata keadaan rumahnya boleh diibaratkan seperti 'dilanggar garuda' dan tambah menyedihkan, empat kereta milik ahli keluarga yang dipindahkan ke kawasan tinggi turut ditenggelami air.

Adiknya, Nursyafiqah, 24, yang menjalankan perniagaan 'surprise delivery' pula sedih melihat kesemua barangan termasuk berkotak-kotak coklat yang baru dibelinya rosak menyebabkan dia terpaksa menghubungi pelanggan bagi membatalkan tempahan.

"Saya mahu memulangkan semula wang namun ada yang menolak. Mereka berkata anggap sahaja (ia) sebagai sedekah. Saya berkali-kali meminta maaf kerana tak jangka keadaan seteruk ini memandangkan sebelum ini banjir hanya pada paras lutut," katanya.

Bagi warden Penjara Penor Md Ridzuan Romli, 42, kemusnahan akibat banjir yang dialaminya boleh dikatakan mencapai 100 peratus memandangkan semasa kejadian, mereka sekeluarga berada di kampung di Yan, Kedah.

Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu, Md Ridzuan berkata mereka tujuh beranak membuat keputusan untuk pulang pada pukul 2 pagi Ahad, namun laluan di dua lebuh raya utama ke Pantai Timur telah terputus hubungan menyebabkan beliau terpaksa melalui daerah Rompin sebelum tiba ke Kuantan pada 5 petang.

"(Meskipun pulang awal) kami hanya dapat pulang ke rumah pada semalam. Sebaik pintu dibuka, bau busuk menusuk hidung dan keadaan didalamnya tidak boleh digambarkan.

“Sampaikan kami tak tahu di mana hendak mula mengemas dan perlahan-lahan kami bermula dengan mengumpul barangan yang difikirkan boleh diselamatkan," katanya.

Md Ridzuan juga memberitahu bahawa beliau bersyukur apabila dihubungi rakan sekerja semalam yang memaklumkan untuk membantu membersihkan rumah yang didiami sejak 16 tahun lepas.

“Saya menjangkakan kerja pembersihan hanya akan benar-benar selesai dalam tempoh seminggu dua memandangkan masih banyak yang perlu dilakukan termasuk mencuci semua baju yang telah terendam selama tiga hari,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS