Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Zulkifli terharu kerjasama berbilang bangsa, agama bantu mangsa banjir
Diterbitkan:  Dec 22, 2021 4:13 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad terharu melihat kerjasama tanpa mengira bangsa dan agama dalam misi bantuan kepada mangsa banjir.

Dia yang juga adalah bekas mufti Wilayah Persekutuan hari ini dijemput meninjau proses penyediaan juadah untuk mangsa banjir dari dapur sehinggalah ke meja bungkusan oleh Presiden Gurdawa Sahid, Petaling Jaya (GSPJ) Awatar Singh Terry dan jawatankuasanya.

“Saya mengenali agama Sikh melalui konsep seva iaitu khidmat sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Dalam Islam, konsep yang sama juga boleh kita temui iaitu ikhlas, perbuatan jika ibadah khusus mahupun umum yang dilakukan hanya kerana Allah SWT,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menceritakan aktiviti bantuan tersebut, Zulkifli berkata dia turut dibawa meninjau proses penyediaan juadah untuk mangsa banjir.

“Atas insiatif saya bermula tahun lalu ketika menjawat jawatan menteri, konsep ‘soup kitchen’ seperti ini turut dibuat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sejak mulanya perintah kawalan pergerakan dan diberi nama Dapur It’am.

“Alhamdulillah, saya dikhabarkan ia masih diteruskan sehingga hari ini.

“Penganut Sikh mengamalkan diet vegetarian. Ini bermakna, mereka sama sekali tidak menjamah daging.

“Hukum Muslim memakan makanan daripada bukan Muslim yang bukan ahli kitab adalah dibolehkan selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka,” katanya.

Tambah Zulkifli, ketika mengikuti aktiviti bantuan bersama GSPJ, dia telah diberikan taklimat gerak kerja yang dimulakan sejak Jumaat lalu, di mana dia dimaklumkan bahawa penghantaran kepada mangsa banjir setiap hari dilakukan dengan bantuan 20 buat trak pikap ke sekitar kawasan terjejas - Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

“Sesungguhnya saya amat terharu dengan kerjasama tanpa rasa sebarang penat lelah semata-mata menzahirkan semangat membantu yang amat luar biasa.

“Saya amat kagum melihat pengurusan sistem agihan bantuan yang melibatkan pelbagai agama dan bangsa. Semuanya tersusun dan lengkap dengan dokumentasi.

“Ini amat penting bagi menjamin integriti dan profesionalisme,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS