Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak rayuan kerajaan tangguh perintah isu kerakyatan

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Kamaludin Md Said pada sidang yang diadakan secara dalam talian melalui Zoom sebulat suara menolak permohonan penangguhan oleh kerajaan sementara menunggu keputusan rayuan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya berkata, penangguhan itu membabitkan hak kanak-kanak, dan bukan penghakiman berhubung wang atau barang.

Kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada 9 Sept lalu mengisytiharkan bahawa anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Pada 15 Nov lalu, Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan keputusan penghakimannya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan diselesaikan.

Pada 9 Sept lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan saman pemula Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, bagi membolehkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Dis tahun lalu, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu warga Malaysia sebagai syarat untuk anak yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan Kedutaan Malaysia, untuk mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (meliputi pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS