Sekumpulan 50 orang yang menghadiri majlis perkahwinan di sebuah dewan di Taman Sri Muda di Shah Alam terpaksa menulis SOS di tingkap dewan bagi mendapatkan bantuan selepas terperangkap selama tiga hari akibat banjir.
Richmond Linus, 32, berkata isyarat kecemasan itu ditulis pada malam kedua dan setelah bantuan tidak kunjung tiba mereka menulis ‘FOOD’ menggunakan pita pelekat di atas bumbung dewan dengan harapan ada helikopter melihat tulisan itu.
Menceritakan detik cemas itu, Richmond berkata kemeriahan majlis perkahwinan adiknya di sebuah dewan bertukar suasana apabila paras air naik dengan begitu cepat menyebabkan kesemua 50 ahli keluarganya terperangkap.
Lebih mencemaskan apabila bekalan makanan dan minuman kehabisan pada malam kedua, mereka yang terdiri daripada dua bayi, 10 warga emas dan selebihnya orang dewasa, terperangkap.
“Hari kedua, makanan sudah habis, kita pun tulis S.O.S besar-besar dan letak dekat tingkap. Tapi bantuan tidak sampai, jadi saya dan yang lain pakai pita pelekat tulis ‘FOOD’ di atas bumbung bangunan, harapnya ada helikopter nampak," katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa melihat keadaan keretanya yang rosak di Shah Alam.
Menurut Richmond, apabila bantuan yang diharapkan tidak kunjung tiba, dia dan tujuh ahli keluarganya mengambil inisiatif untuk keluar, bertaruh nyawa untuk mencari bekalan makanan agar ahli keluarga lain tidak kelaparan.
"Kami lapan orang berenang guna pelampung...restoran sebelah bagi (makanan) tapi tidak cukup sebab mereka pun ada ramai pekerja," katanya.
Selepas tiga hari dua malam, keluarga itu akhirnya diselamatkan oleh pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat dan mereka dibawa keluar menggunakan bot.
"Semua dah keluar, ada dekat rumah adik beradik dekat-dekat sini...tetamu semua dah okey tapi kami tak tahu nak ucap tahniah macam mana dekat pengantin, semua rasa bersalah," katanya dalam nada berseloroh.
- Bernama