mk-logo
Berita
Empat lagi mayat ditemukan di Taman Sri Muda
Diterbitkan:  Dec 21, 2021 10:33 PM
Dikemaskini: Dec 22, 2021 12:04 AM

Empat lagi kematian dicatatkan di kawasan banjir Taman Sri Muda di Shah Alam hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang ditemukan setakat ini adalah 12 terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita setakat 7 malam ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan hari ini berkata identiti empat mangsa itu, masing-masing dua lelaki dan dua wanita belum dikenal pasti.

“Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata seramai 31 orang ditahan susulan insiden pecah dan ceroboh kedai serbaneka di kawasan Taman Sri Muda, semalam.

Beliau berkata mereka terdiri daripada 10 rakyat Indonesia, tujuh Bangladesh, sembilan Nepal dan lima Myanmar dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"IPD Shah Alam juga meletakkan elemen pencegahan jenayah di semua kawasan yang terjejas banjir dan polis menyeru serta menasihati orang ramai di kawasan yang terjejas banjir agar tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Sementara itu, dua Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) disediakan iaitu PKTK 1 di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan PKTK 2, Taman Kemuning Utama, Seksyen 33 di Shah Alam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS