Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek tambak laut Melaka tiada konflik kepentingan - bekas Adun Umno

Seorang bekas timbalan exco Melaka berkata tiada konflik kepentingan yang timbul ketika dirinya memegang jawatan itu dan keterlibatannya dalam sebuah syarikat yang dianugerahkan projek tambak laut.

Ketika dihubungi hari ini, bekas Adun Rim Ghazale Muhamad berkata apabila kerajaan negeri di bawah ketua menteri ketika itu Idris Haron pada 2015 memutuskan syarikat yang mengambil bahagian dalam projek itu, dirinya merupakan timbalan anggota kabinet yang bertanggungjawab ke atas pelancongan, pantai, sungai dan pulau.

"(Saya tidak bertanggungjawab portfolio) tanah dan perancangan ekonomi.

"Bila full exco meeting, semua timbalan exco akan hadir tapi hanya bertanggungjawab dan membentangkan isu-isu....jika saya hanya isu-isu pelancongan saja," katanya.

Ghazale mempunyai 40 peratus kepentingan dalam BBM Ventures Sdn Bhd. Syarikat itu diperbadankan pada Januari 2015. Ia telah dianugerahkan kontrak tambak laut pada Februari 2017.


BACA BERKAITAN :

Dua pemimpin Umno Melaka dikaitkan dengan projek tambak laut


BBM Ventures merupakan salah satu daripada empat syarikat yang memenangi kontrak itu. Tiga lagi syarikat ialah Dewi Pertiwi Development Sdn Bhd (DPDSB), Golden Straits Development Sdn Bhd (GSDSB) dan Nusa Waja Sdn Bhd (NWSB).

Rekod awam menunjukkan Timbalan Pengerusi Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad dan isterinya Rosefouziah Salleh merupakan pemegang saham dalam keempat-empat syarikat itu.

Ghazale berkata dia bukan pemegang saham utama dalam BBM Ventures dan menjelaskan dua lagi pemegang saham - Mohamad dan Rosefouziah - menguasai syarikat itu.

"Share dua orang lagi lebih besar dari saya dan mereka yang running syarikat ni...saya hanya bersama dalam syarikat berkenaan," katanya.

Projek tambak laut itu sebahagian dari Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-Wez) yang bercita-cita tinggi, yang seterusnya merupakan versi penjenamaan semula projek Melaka Gateway era Najib Razak.

Projek ini akan mengubah 33km pantai Melaka, bersama-sama dengan kawasan lama di negeri ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS