mk-logo
Berita
14 stesen aras air di Pahang lepasi paras bahaya setakat 5 petang tadi
Diterbitkan:  Dec 21, 2021 8:29 PM
Dikemaskini: 12:29 PM

Sebanyak 14 stesen aras air di Pahang melepasi paras bahaya dengan empat daripadanya berada pada trend menaik, setakat 5 petang ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran dalam satu kenyataan menyatakan empat stesen yang melepasi aras bahaya dan dalam trend menaik di negeri itu adalah Sungai Pahang di Temerloh (Lubuk Pasu); Sungai Pahang di Water Front, Bera; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; dan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan.

Tiga lagi stesen yang melepasi aras bahaya berada pada trend kekal iaitu Sungai Lipis di Benta, Lipis; Sungai Jengka di Jambatan Kampung Awah, Maran; dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan.

Sebanyak tujuh lagi stesen yang melepasi aras bahaya namun dalam trend menurun adalah Sungai Jelai di Jeti Lipis, Lipis; Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut; Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis; Sungai Kuantan di Kuantan Bypass; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; dan Sungai Serting di Jambatan Padang. Gudang.

Sementara di Selangor pula, tiga stesen aras air telah melepasi aras bahaya dengan dua daripadanya dalam trend menurun iaitu Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor dan Sungai Selangor di Kampung Asahan, Kuala Selangor manakala satu lagi pada trend menaik iaitu Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat

Terdapat dua stesen aras air di Kelantan telah melepasi aras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (trend menaik) dan stesen Rantau Panjang, Pasir Mas (kekal).

Selain itu, satu stesen aras air di Perak turut melepasi aras bahaya dengan trend menurun melibatkan Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak.

Lain-lain stesen aras air di semua negeri di atas berada pada status amaran, waspada dan normal manakala di Terengganu, Johor, Melaka dan Sarawak tiada stesen aras air yang melebihi aras bahaya namun pada status waspada dan amaran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS