Sejak banjir melanda beberapa kawasan di negara ini hujung minggu ini, para sukarelawan telah bergerak cepat ke pelbagai zon bencana, tetapi terhalang oleh masalah kekurangan penyelarasan.
Menurut ketua skuad bantuan krisis MCA (CSRM) Johor Ling Tian Soon, ini menyukarkan untuk mengelak pertindihan dalam kerja menyelamat.
"Kawasan ini sebenarnya sangat bercelaru dan terdapat kekurangan komunikasi. Kami benar-benar memerlukan pihak berkuasa untuk menyelaraskan tugas menyelamat di lapangan supaya tidak ada kerja berulang di kalangan pasukan penyelamat dan dengan cara yang lebih teratur," katanya pada sidang media hari ini.
Jelas Ling, pasukannya yang terdiri daripada 16 anggota CSRM dari Johor tiba di Taman Sri Muda di Shah Alam pada jam 8 pagi semalam.
Ling yang juga setiausaha penganjur MCA dan ketua Pemuda MCA Johor berkata maklumat yang mereka perolehi datang dari penduduk tempatan.
Dengan maklumat ini, katanya mereka pergi dari pintu ke pintu untuk mengagihkan bekalan makanan dan meneliti keperluan sama ada pemindahan perlu dilakukan atau tidak.
Cabaran berbeza
Usaha bantuan yang tidak teratur yang digambarkan oleh ramai mangsa banjir apabila mereka akhirnya dapat menyelamatkan diri semalam selepas menghabiskan dua hari terperangkap.
Ling berkata air banjir berada di paras lutut hari ini, turun dari paras leher ketika pasukannya tiba semalam.
Walau bagaimanapun, air yang lebih cetek menimbulkan cabaran berbeza.
"Disebabkan paras air, kami mungkin melanggar serpihan atau bahu jalan yang boleh merosakkan bot kami. Kami terpaksa bergerak dengan sangat perlahan," katanya.
Tambahnya, walaupun menghadapi masalah, pasukannya telah membantu memindahkan kira-kira 180 orang daripada 60 keluarga.
Ling juga berkata 15 lagi anggota CRSM akan menuju ke Bentong, Pahang, hari ini untuk membantu mangsa banjir.
CSRM telah berjaya mengumpul RM44,941.16 untuk usaha bantuan sejak banjir bermula pada hujung minggu lalu.