Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda tuntut Abdul Latiff letak jawatan kerana gagal selaras bantuan
Diterbitkan:  Dec 21, 2021 3:09 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa Dr Abdul Latiff Ahmad berundur daripada jawatannya sebagai menteri setelah berdasarkan kepada cara kerajaan khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menguruskan isu banjir beberapa hari lalu.

Dalam kenyataan hari ini Ketua Penerangan Muda, Zaidel Baharuddin, berkata menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu mesti bertanggungjawab atas kegagalan yang berlaku.

Peletakan jawatan itu, katanya, perlu dilakukan segera selepas melihat kepada tiadanya penyelarasan menguruskan bencana yang berlaku.

"Kami merujuk kepada beberapa laporan portal akhbar yang menyatakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lambat dihantar ke kawasan bencana banjir di sekitar Lembah Klang kerana Nadma gagal mengkoordinasi (bantuan) bencana.

"Ada juga yang melaporkan Nadma agak keberatan untuk melibatkan ATM atas sebab-sebab yang tidak diketahui," katanya.

Tambah Zaidel Muda juga melihat sendiri bagaimana kerja-kerja membantu itu gagal dijalankan dengan lancar berdasarkan pengalaman sukarelawan parti itu di lapangan.

Sebelum ini, beberapa mangsa banjir mendakwa bahawa tiada penyelarasan antara punca utama kelewatan bantuan di kawasan bencana.

Untuk rekod, pada 15 Nov lalu satu portal berita melaporkan Abdul Latiff berkata, Nadma hanya menjaga urusan pemberian pampasan kepada mangsa selepas mendapat maklumat dan senarai daripada kerajaan negeri.

Katanya, Nadma juga tidak bercadang untuk menempatkan pejabat dan kakitangannya di peringkat daerah kerana ia melibatkan kos yang besar.

Muda berkata dengan apa yang dilakukan Abdul Latiff adalah tidak wajar kerajaan membazirkan wang rakyat untuk menanggung kos berpuluh-puluh ribu ringgit setiap bulan bagi membayar menteri terbabit serta segala pegawai dan pengiringnya.

Sementara itu Muda juga mengingatkan bahawa keutamaan ketika ini ialah memberikan bantuan kepada mangsa bencana, bukan melayan kunjungan orang kenamaan.

Menurut Zaidel segala kemudahan yang ada mesti digunakan untuk tujuan tersebut.

"Bot dan semua aset harus diberi keutamaan untuk menyelamat dan membantu mangsa, bukannya ditumpukan untuk membawa 'pelancong bencana' yang datang melawat kawasan.

"Para menteri dan pembesar yang hadir, (kalau datang pun) datanglah untuk membantu.

"Kalau tidak pun, sekurang-kurangnya janganlah datang dan menyusahkan pula," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS