Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jangan politikkan bencana banjir, kata Dr M
Diterbitkan:  Dec 21, 2021 11:48 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Banjir yang sedang melanda negara tidak seharusnya dipolitikkan dan bantuan perlu disalurkan kepada semua pihak yang terkesan tanpa mengira sesiapa, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Langkawi itu merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang berganding bahu membantu merekayang ditimpa bencana alam itu.

"Membantu mereka yang dalam kesusahan adalah salah satu tonggak utama perjuangan parti kita.

"Ini bukan masa untuk berpolitik, ini masa untuk kemanusiaan, bantuan diberi tidak harus memilih siapa.

"Selain itu saya juga ingin mohon supaya ahli-ahli (parti) Pejuang yang sedang memberi bantuan supaya sentiasa jaga disiplin, tidak sombong dan lakukan tanggungjawab ini dengan penuh sabar dan sopan," kata Mahathir dalam perutusan kepada ahli parti Pejuang.

Mahathir sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Kuala Lumpur, Selangor berdepan banjir besar luar jangkaan pada Sabtu lalu selepas hujan lebat tanpa henti selama dua hari.

Sehingga kini pihak polis telah menemui sembilan mayat mangsa yang menjadi korban dalam bencana alam itu selepas air banjir surut.

Selain Kuala Lumpur dan Selangor, Pahang juga turut berdepan dengan banjir besar sehingga ada nyawa yang terkorban.

Dalam pada itu, Mahathir menzahir kerisauan terhadap mereka yang terjejas dalam kejadian itu.

"Saya ikuti berita berkait dengan banjir yang melanda negara kita. Ia amat merisaukan dan sudah pasti kesusahan yang dihadapi mangsa-mangsa amat memeritkan.

"Begitu juga dengan usaha yang dilakukan semua rakyat Malaysia di pelbagai peringkat yang telah sama-sama keluar membantu mangsa yang terlibat," katanya.

Mahathir turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang mendoakan kesejahteraan buatnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS