Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tidak ada sesiapa yang menyangka mereka akan berdepan detik amat mendebarkan apabila terperangkap dalam bencana banjir di Taman Sri Muda sejak Sabtu lalu.

Berkongsi pengalaman terperangkap selama dua hari, penduduk di kawasan pertempatan terlekat di sempadan Shah Alam dan Kelang itu mendakwa, penyelerasan lemah oleh pihak berkuasa antara punca kelewatan bantuan tiba di tempat terjejas.

Seorang penduduk dari Pangsapuri Sri Muda berkata bahawa masih ramai mangsa belum mendapat bantuan mencukupinya.

Mengenalkan dirinya hanya sebagai Jaibon, dia berkata, berbanding barang keperluan yang mendesak, ketika ditemui Malaysiakini semalam, penduduk di situ hanya mendapat kekecewaan saja.

"Ramai-ramai berenang di sini (untuk mencari bantuan) sebab orang cakap ada bantuan bakul makanan.

"Banyak kami di sini tak ada dapat apa-apa, kecuali kekecewaan saja yang kami dapat.

"Sekarang apabila banjir dah surut, baru dia orang datang tolong... macam mana?" katanya kecewa.

Tambah lelaki terbabit, buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang rancangan kerana banjir masih belum pulih.

"Tunggu air surut sahaja. Bakul makanan tak ada. Semalam pun saya makan Maggi sahaja," katanya.

Sementara itu, Siti Hajar, 29, berkata tidak ada bantuan kerajaan diterima sebaliknya mereka bergantung kepada bantuan daripada orang awam sahaja.

"Kalau nak masuk Taman Sri Muda, air masih dekat paras dada. Tak boleh lagi nak masuk. Semua bantuan tersekat kat jambatan tu. Kena bersabar. Kena tunggu sampai reda," katanya.

Anak berseorangan di rumah 

Menurut suri rumah itu lagi, kelewatan bantuan antara punca penduduk menceroboh pasar raya untuk mendapatkan makanan selepas dua hari mereka terputus bekalan.

"Dua hari tak makan, kan? Jadi mereka terpaksa pecah masuk 99 Speedmart untuk mendapat stok lampin bayi, susu, makanan kering sementara tunggu bantuan masuk. Bantuan tak boleh masuk," katanya.

Berbeza pula pengalaman ibu kepada dua anak yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah.

"Ketika banjit kilat di sini, saya berada di Port Dickson atas urusan lain. Anak perempuan saya seorang di rumah.

"Sampai di sini saya tidak dibenarkan masuk. Mereka (bot) hanya akan bantu untuk keluar dari sini. Nak masuk tak boleh sedangkan anak saya berada di rumah selama dua hari tanpa makanan dan elektrik.

"Terpaksa saya berjalan kaki hampir dua kilometer dalam banjir sampai ke rumah," katanya yang berusia 57 tahun.

Tinjauan Malaysiakini mendapati ada kira-kira 30 bot milik pelbagai pihak termasuk kerajaan pusat dan negeri serta orang awam berulang-alik membawa bantuan makanan dan menyelamatkan mangsa banjir.

Namun, masih banyak barang khususnya makanan ditinggalkan di tepi jalan kerana bot tidak mencukupi.

Berdepan masalah sampah 

Menurut seorang aktivis, tiada penyelarasan mengakibatkan keadaan di situ masih kelam-kabut.

"Saya nampak tiada koordinasi di sini. Semua buat sesuka hati. Ketiadaan bot di beberapa kawasan juga antara punca banyak barang tidak dapat dibawa masuk.

"Sebagai contoh, sekiranya ada bot membawa bekalan masuk, kawasan perumahan yang dekat dengan jalan raya masuk menerima bantuan. Yang tinggal dalam tertinggal," katanya hanya mahu dikenali sebagai Harry.

Dia turut menceritakan bahawa masih ada mangsa banjir sedia mengambil risiko untuk tinggal di rumah masing-masing walaupun dinasihatkan agar berpindah.

"Apabila kami sampai dan ajak mereka berpindah dengan bot, mereka tak mau naik. Mereka bimbang harta benda yang ditinggalkan dan mereka terus bertahan di rumah walapun dalam banjir," katanya.

Walaupun banjir makin surut sehingga ke paras dada setakat jam 6 petang semalam, khabar yang baik dan melegakan nampaknya belum tiba untuk penduduk setempat.

Tanpa air di dalam rumah, kini mereka terpaksa berdepan dengan tugas getir membersihkan kediaman dan kawasan sekitar yang dilimpahi sampah-sarap.

Terdapat juga penduduk yang berkata bahawa mereka tidak lagi memerlukan makanan sebaliknya barang keperluan asas lain seperti lilin kerana bekalan elektrik masih belum dipulihkan sejak Sabtu lalu.

Malaysiakini mendapati ada penduduk yang masih tinggal di rumah melambai-lambai ke arah bot penyelamat untuk meminta lilin, selain makanan untuk haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan burung.

Di sebalik pengalaman buruk penduduk Taman Sri Muda itu, orang awam yang tidak atau kurang terjejas pula terus gigih menghulurkan bantuan dengan cara yang termampu.

SP Care sediakan bantuan perubatan

Misalnya Klinik SP Care yang turut menawarkan bantuan perubatan kepada sesiapa yang memerlukan, di samping menyediakan bantuan makanan kering.

Pengasas klinik itu, Dr Sathia Prakash Nadarajan, berkata dia telah mengerakkan pasukannya untuk memberi bantuan perubatan kepada sesiapa yang memerlukan.

"Kami berada di sini sejak Ahad dan cuba memberi bantuan perubatan kepada orang ramai. Hari ini kami akan turun ke kawasan Hulu Langat yang turut terjejas akibat banjir.

"Kita lihat di media sosial, banyak permintaan untuk bantuan perubatan. Jadi, kami menyediakan kemudahan perubatan kepada mereka yang memerlukannya," katanya.

Tambah Sathia Prakash, SP Care turut menyediakan empat bot kayak untuk menghantar bekalan makanan atau menyelamatkan mangsa.

"Saya di sini ingin berterima kasih beberapa orang yang membantu dari 'luar'.

"Walaupun, mereka tidak di sini, masih tetap meyalurkan bantuan. Sebuah syarikat terkenal yang menjual bot memberi diskaun sehingga 50% kepada NGO," katanya.

Sementara itu orang awam yang dikenali sebagai Yusof juga tidak ketinggalan menyalurkan bantuan dengan membawa lima bot untuk kegunaan menghantar barang keperluan atau mengeluarkan penduduk dari kawasan banjir.

Datang dari Kuala Selangor, Yusof berada di situ sejak kelmarin.

"Sejak semalam (kelmarin), saya dan anak-anak berulang alik membawa makanan dan menyelamatkan orang yang terkandas.

"Tidur satu jam saja dan kami bangun 6 pagi. Badan memang letih, tapi semangat masih ada untuk membantu seramai mungkin orang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS