Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 41,000 mangsa banjir dipindah ke 405 PPS - Nadma

Seramai 41,418 mangsa yang terkesan akibat bencana banjir di lapan negeri telah dipindahkan ke 405 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari ini, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Lapan negeri terbabit ialah Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ia melibatkan 8,384 keluarga, menurut NADMA dalam kenyataan mengenai laporan banjir hari ini.

“Sebanyak 50 PPS telah dibuka di Kelantan melibatkan enam daerah, lapan PPS di Terengganu (dua daerah), 212 PPS di Pahang (sembilan daerah), 11 PPS di Melaka (tiga daerah), 10 PPS di Negeri Sembilan (empat daerah), 108 PPS di Selangor (sembilan daerah) dan tiga PPS di Kuala Lumpur.

"Bagi Selangor, sehingga 9.30 pagi terdapat 108 PPS telah dibuka bagi menempatkan 18,149 orang mangsa daripada 2,279 keluarga," menurut kenyataan itu.

Sembilan daerah Selangor yang terkesan dengan bencana itu ialah Gombak, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Petaling, Kuala Langat, Klang, Sepang, Kuala Selangor dan Hulu Langat.

NADMA dalam kenyataan itu memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan 627 mangsa telah diselamatkan bagi operasi menyelamat di Taman Sri Muda, Selangor.

"Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 437 mangsa telah dikeluarkan dari lokasi bencana. Terdapat empat orang mangsa telah dibawa ke hospital oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM)," menurut kenyataan itu.

NADMA berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di Selangor yang telah dibantu untuk keluar dari lokasi banjir 4,345 orang dan jumlah itu tidak termasuk mereka yang telah diselamatkan pada hari pertama dan kedua yang tidak direkodkan.

Menurut kenyataan NADMA, jumlah mangsa di Selangor yang telah berjaya diselamatkan pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) adalah 3,421 orang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS