Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM umum bantuan tambahan untuk mangsa banjir
Diterbitkan:  Dec 20, 2021 9:11 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan tambahan bantuan pascabanjir untuk rakyat yang terjejas, termasuk sumbangan sektor swasta, pinjaman tanpa faedah serta pengecualian bayaran sewa.

Bagi usahawan, Ismail berkata Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menawarkan pembiayaan kewangan sehingga RM5,000, dengan bayaran balik bermula selepas enam bulan dan tanpa faedah.

Bagi menangani impak banjir dan pemulihan pasca banjir, Ismail mengumumkan tambahan RM50.8 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Ia merupakan tambahan kepada geran kerajaan berjumlah RM25 juta yang diumumkan semalam.

“Ini bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca-banjir adalah RM75.8 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dia berkata kerajaan bersetuju memberi pengecualian sewa selama dua bulan kepada penyewa Kompleks Premis Usahawan SME Bank yang terjejas dengan musibah yang melanda.

“Kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir,” katanya lagi.

Usaha menangani air belum surut

Menurut Ismail, mesyuarat khas penyelarasan bencana negara hari juga bersetuju untuk menyelesaikan segera masalah banjir di kawasan yang paling teruk terjejas di Selangor, iaitu Taman Sri Muda.

Katanya, seramai 321 anggota, 41 bot, 16 lori dan aset-aset lain telah digerakkan ke sana.

Malaysiakini hari ini melaporkan penduduk di kawasan itu hanya hanya dapat keluar dari kawasan itu pagi ini apabila air mula surut.


Penduduk Sri Muda harungi 48 jam penuh cemas, kelaparan


Menurut beberapa saksi, air mula naik pada Sabtu pagi. Tiba tengah hari, air banjir sudah setinggi bumbung kereta, memaksa ramai yang menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi.

Selain itu, Ismail berkata dia telah mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk segera menggerakkan 20 lagi aset pam mudah alih ke kawasan terjejas, untuk mengepam air dari kawasan yang mengalami banjir genang (yang biasa dikenali sebagai banjir termenung) ke sungai yang berhampiran.

Ia tambahan kepada empat pam sedia ada.

“Saya juga bersetuju dengan cadangan supaya beberapa bahagian benteng sungai dipecahkan atau ditebuk buat sementara untuk mengalirkan air genang segera keluar ke sungai.

“Lokasi penebukan sedang dimuktamadkan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS