mk-logo
Berita
Mayat korban kedua banjir Pahang ditemukan
Diterbitkan:  Dec 20, 2021 1:17 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Lelaki yang dilaporkan hilang selepas meredah banjir di Kampung Cempaka di Kuantan semalam, menjadi korban kedua banjir di Pahang selepas mayatnya ditemukan pada 7.15 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Mohd Halmi Nazlan ditemukan kira-kira lima kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Halmi, 34, dilaporkan hilang pada 1 pagi semalam, selepas dikatakan cuba meredah banjir bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas.

Mangsa didakwa telah dihanyutkan arus deras manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri.

Pada Jumaat lepas, operator kilang M Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir setelah ditemukan maut selepas cuba mengharung banjir menggunakan motosikal di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina Gambang di Kuantan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS