mk-logo
Berita
Perak laksana program pemutihan di tanah teroka haram lebih 5,000 hektar
Diterbitkan:  Dec 20, 2021 11:50 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

DUN | Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata daripada jumlah itu, kira-kira 3,930.79 hektar telah diberikan pajak sewa kepada pengusaha pertanian, penternakan dan perikanan.

Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak telah bersetuju untuk melaksanakan program pemutihan bagi penerokaan tanah secara haram dengan melupuskan kawasan seluas kira-kira 5,959.75 hektar kepada beberapa anak syarikat kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata daripada jumlah itu, kawasan seluas kira-kira 3,930.79 hektar telah diberikan pajak sewa kepada pengusaha terbabit bagi proses pemutihan di atas usaha pertanian, penternakan dan perikanan.

“Manakala baki kawasan seluas kira-kira 2,028.96 hektar akan dipertimbangkan untuk diadakan tindakan penguatkuasaan atau pertimbangan proses pelupusan yang lain berdasarkan kepada penelitian selanjutnya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan (DAP-Dr Ko Chung Sen) yang ingin tahu keluasan tanah yang telah menjalankan pemutihan dan permohonan yang berjaya serta sedang diproses sejak tahun lepas selain jumlah peningkatan hasil pendapatan negeri menerusi kutipan pajakan tersebut.

Beliau berkata bagi tanah kerajaan yang diteroka secara haram dan program pemutihan dilaksanakan oleh Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah Negeri Perak, dianggarkan kawasan seluas kira-kira 6,072.27 hektar telah dikenal pasti.

Katanya kawasan berkenaan sedang dilaksanakan program pemutihan pertanian seperti pewujudan Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB), pengeluaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan sebagainya.

“Daripada program pemutihan yang dijalankan, dianggarkan hampir 10,000 pengusaha akan mendapat hak milik, pajak sewa atau lesen,” katanya.

Saarani berkata sebanyak 6,000 permohonan telah berjaya dan sedang diproses untuk proses pemutihan ini sehingga bulan lepas.

Jelasnya, jumlah anggaran hasil cukai tanah yang dapat dikutip oleh kerajaan negeri daripada program pemutihan ini bagi kutipan cukai tanah yang telah diteroka secara tidak sah adalah sebanyak RM252,777.91 untuk kategori pertanian dan RM6,875.80 bagi kategori penternakan.

Selain itu, menjawab soalan tambahan Dr Ko yang ingin tahu sebab kerajaan negeri tidak menjalankan kerjasama dengan pengusaha sama untuk membangunkan tanah-tanah terbabit, Saarani berkata kawasan itu telah dizonkan sebagai zon perindustrian dan pengusaha-pengusaha pertanian telah disediakan kawasan lain yang telah dizonkan sebagai tempat pertanian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS