Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lapan rumah di Flat Sri Johor dijilat api
Diterbitkan:  Dec 20, 2021 9:28 AM
Dikemaskini: 2:25 AM

Lapan rumah di tingkat lima Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor, Cheras di Kuala Lumpur terlibat dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kebakaran berlaku pada kira-kira 9.20 malam dan operasi pemadaman sedang dijalankan.

Menurutnya kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.

"Setakat ini, bomba masih menyiasat sama ada kejadian melibatkan kemalangan jiwa. 

"Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurut jurucakap bomba, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan penghuni lapan unit kediaman tersebut.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.17 malam dan seramai 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras digegaskan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran memusnahkan 100 peratus keseluruhan tingkat empat itu. Operasi pemadaman menggunakan teknik ‘water tower’ jentera khas Aerial Ladder Platform (ALP) dan Turn Table Ladder (TTL)," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada kira-kira 11.30 malam tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim turut melawat lokasi kebakaran itu.

- Bernama


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS