Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP Sabah tarik diri dari meterai MOU dengan k'jaan GRS
Diterbitkan:  Dec 20, 2021 9:12 AM
Dikemaskini: 1:12 AM

DAP Sabah menarik diri daripada inisiatif Agenda Reformasi Sabah (SRA) selepas tidak sampai sebulan Pakatan Harapan negeri mencadangkan memorandum persefahaman peringkat negeri itu kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Keputusan untuk menarik diri daripada semua perbincangan dan menandatangani sebarang dokumen dengan kerajaan yang memerintah telah dibuat oleh Majlis DAP Sabah dua minggu lalu, kata setiausaha DAP negeri Ginger Phoong.

"Kami membuat keputusan sebulat suara bahawa kami tidak akan mengadakan sebarang bentuk kerjasama, agenda reformasi atau MOU dengan kerajaan negeri semasa."

"Persoalannya ialah sama ada DAP Sabah patut menyertai Pakatan Harapan Sabah dalam perbincangan MOU atau tidak. Mesyuarat itu malahan tidak membincangkan pun mengenai pemeteraian MOU itu," katanya kepada media semalam.

He acknowledged that Sabah DAP was not the one that initiated the reform agenda with GRS.

Perjanjian dengan kerajaan GRS tidak diperlukan kerana gabungan parti pemerintah telah memperoleh majoriti dalam dewan undangan negeri, katanya dipetik Free Malaysia Today.

"Jadi, tidak ada keperluan untuk kami (menandatangani sebarang MOU) atas nama kestabilan politik," kata Phoong, yang juga Adun Luyang.

"Ia sama sekali berbeza dengan situasi di peringkat persekutuan ketika Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri tiga bulan lalu."

DAP Sabah telah memaklumkan kepada pakatan pembangkang negeri mengenai keputusannya itu, tambah Phoong.

Pada 15 Nov, PH Sabah menyerahkan MOU itu, yang merangkumi agenda reformasi tujuh perkara kepada Ketua Menteri Hajiji Noor. Agenda itu juga termasuk pembaharuan yang dikatakan PH perlu dilaksanakan dalam dewan undangan negeri bagi membolehkan tadbir urus demokrasi yang lebih progresif serta semak dan imbang yang lebih berkesan.

Terdapat pelbagai reaksi dalam DAP Sabah sendiri. Ketuanya Frankie Poon tidak percaya MOU SRA akan memberi kesan negatif kepada pembangkang manakala Adun Sri Tanjong Justin Wong pula menggesa DAP Sabah menggugurkan MoU itu atau kehilangan sokongan rakyat.

Sementara itu, Pengerusi PH Sabah Christina Liew melahirkan rasa terkejutnya terhadap penarikan diri DAP negeri daripada MoU yang dirancang dengan gabungan parti pemerintah negeri itu.

"Saya tidak boleh menjawab terus berhubung perkara ini. Kami tidak dimaklumkan oleh mereka (DAP Sabah) bahawa mereka telah menarik diri daripada MOU kerajaan Sabah-pembangkang yang dirancang."

"Setiausaha PH Sabah pun tidak dimaklumkan mengenai perkara ini," kata pengerusi PKR Sabah itu dipetik The Vibes.

"Saya perlu mendapatkan maklumat lebih lanjut, saya tidak boleh menjawab soalan anda. Sebenarnya, saya agak terkejut," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS