mk-logo
Berita
Ramai terperangkap di Sri Muda masih belum terima bantuan
Diterbitkan:  Dec 19, 2021 11:41 PM
Dikemaskini: Dec 20, 2021 12:39 AM

Meskipun hari sudah gelap, ramai penduduk di kawasan Taman Sri Muda di Shah Alam yang terperangkap akibat banjir kilat masih belum menerima sebarang bantuan.

Sebaliknya, mereka meminta bantuan sukarelawan dan membuat rayuan kepada persatuan penduduk di media sosial.

Ini termasuklah meminta bekalan makanan dan susu bayi, ubat-ubatan untuk warga emas atau meminta mana-mana orang memeriksa kanak-kanak di rumah yang tinggal bersendirian kerana ibu bapa mereka terperangkap akibat banjir.

Ramai daripada mereka juga mengatakan hayat bateri telefon bimbit mereka sudah kehabisan dan mungkin terputus komunikasi.

Kumpulan penduduk mlakukann usaha untuk mengumpulkan senarai alamat rumah dan lokasi GPS bagi membantu mereka yang memerlukan.

Bagaimanapun, beberapa sukarelawan berkata mereka menghadapi masalah untuk bergerak dalam keadaan gelap dan banjir.

"Assalamualaikum semua bateri (telefon) saya tinggal 3 peratus. Bantuan masih belum sampai. Kami bergelap. Hari dah mula gelap. Ramai yang (mesej di) WhatsApp saya tapi belum ada lagi yang datang menyelamatkan kami .

"Saya cuma minta transfer kucing-kucing saya ke shelter kami di lot kedai yang tempatnya hanya jarak 1km.

"Tambahan pula di shelter juga perlu bantuan saya kerana jumlah staff yang tidak mencukupi. Please minta yang betul-betul nak bantu datang hubungi saya sebab bateri (telefon) saya low.

"Bila malam mulai hujan turun lagi. Allahu. Anak saya di shelter pun tak tahu sudah makan ke belum. Sedangkan kami di sini pun belum makan sejak semalam," katanya.

"Ada dua orang tak dapat makan dan minum dah dua hari, tolong," kata seorang lagi penduduk.

Penduduk yang telah menghubungi mereka yang terkandas mengatakan mereka terputus hubungan kerana tiada bekalan elektrik untuk mengecas telefon bimbit mereka.

Penduduk juga menubuhkan unit bot penyelamat dan menyebarkan borang google sheet bagi mengumpulkan maklumat mereka yang masih terkandas.

Semua alamat yang dikongsi oleh persatuan penduduk dan pasukan penyelamat adalah di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Walaupun banjir di kebanyakan kawasan telah surut, sebahagian Taman Sri Muda masih ditenggelami air.

Taman Sri Muda dikelilingi oleh sungai Klang yang telah melimpah akibat hujan berterusan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata lebih banyak bot akan digunakan untuk membawa keluar dan memindahkan mangsa banjir yang masih terperangkap di Bukit Kemuning dan Seri Muda.

“Proses penyelamat akan diteruskan malam ini bagi mengeluarkan semua mangsa yang terkandas. Saya mengambil maklum keadaan kritikal di Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam. Segala aset yang sesuai seperti bot telah dikerah untuk membantu proses pemindahan mangsa banjir.

“Saya difahamkan jumlah anggota tentera turut ditambah untuk membantu usaha ini,” katanya pada hantaran di Twitter malam tadi.

Amirudin berkata dia berada di SK Taman Sri Muda selama empat jam bagi membantu operasi memindahkan mangsa yang terkandas.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS