Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir: Ramai terkandas di lebuh raya, pusat beli-belah di S'gor
Diterbitkan:  Dec 19, 2021 6:55 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Ribuan penduduk di Lembah Klang terkandas berikutan banjir kilat akibat hujan yang berterusan sejak Jumaat lalu.

Keadaan banjir menyebabkan perhubungan jalan darat melalui lebuh raya utama terputus dan mereka yang cuba pulang ke Klang atau ke Shah Alam terkandas.

Sementara itu, Plaza Tol Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) masih ditutup kepada pengguna kenderaan. 

Pengendalinya PLUS Malaysia Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan kira-kira 226 mangsa yang terkandas telah diselamatkan pagi tadi.

“Setakat jam 7 pagi tadi, usaha penyelarasan menyelamat dan bantuan PLUS bersama PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya memindahkan lebih 226 mangsa dengan selamat dan menempatkan mereka di lokasi di sepanjang lebuh raya termasuk di ibu pejabatnya iaitu Persada Plus,” katanya.

Beberapa jalan utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga telah ditutup akibat banjir kilat, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat dilihat bertungkus lumus dalam usaha menyelamatkan mangsa yang terkandas di Lebuhraya Persekutuan Shah Alam pagi tadi, sementara yang lain diberi perlindungan di beberapa pusat membeli-belah.

Pihak pengurusan Aeon Mall Shah Alam berkata, kira-kira 570 pelanggan selain 173 kakitangan dan 225 penyewa di pusat membeli belah itu turut terkandas akibat banjir.

"Untuk memastikan keselamatan mereka, kami dengan rasa penuh tanggungjawab membuka ruang kepada semua untuk bermalam di AEON Mall Shah Alam.

"Satu ruang berhawa dingin dengan keluasan 6,400 kaki persegi di Tingkat 3 turut dibuka yang boleh menampung kapasiti untuk 200 orang. Selain dari itu, para pelanggan yang terkandas turut berada di ruang legar untuk berlindung dan terdapat juga yang memilih untuk bermalam di dalam kenderaan masing-masing, sementara menunggu keadaan bertambah pulih," katanya.

Pengurusan pusat beli-belah itu berkata bekalan termasuk makanan, tuala dan lampin turut disediakan.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan telah menutup 433 pencawang elektrik sebagai langkah keselamatan.

Semalam, tular di media sosial satu video menunjukkan kejadian letupan di sebuah pencawang di Shah Alam akibat banjir.

Pengurusan TNB berkata pencawang yang ditutup termasuk 137 pencawang di Pahang, 117 pencawang di Selangor, 45 pencawang di Kuala Lumpur, 17 pencawang di Negeri Sembilan, 10 pencawang di Melaka dan tujuh pencawang di Kelantan yang menjejaskan 17,251 pengguna.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS