Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata tidak mungkin Perikatan Nasional (PN) boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melainkan ada perubahan besar berlaku dalam gabungan pembangkang itu.
Dia mengulas cadangan bekas pemimpin Umno, Idris Haron yang kini telah menyertai PKR agar PH bekerjasama dengan PN bagi menghadapi BN pada PRU15.
"Dalam bentuk PH sedia ada tak mungkin (dapat bekerjasama). Bukan kita tak suka perpaduan, banyak ketara perbezaan, saya ada pengalaman di situ sebab itu kita buat keputusan tinggalkan PH.
"Sukar, tak tahulah kalau ada perubahan besar berlaku dalam PH,” kata Muhyiddin dalam sidang media pada perhimpunan agung keempat Bersatu di Kuala Lumpur hari ini.
Muhyiddin berkata Bersatu mempunyai pengalaman berada dalam PH dan terdapat banyak perbezaan ketara sebelum ini yang menyebabkan parti itu meninggalkan gabungan tersebut.
Selain itu katanya, Bersatu juga tidak bersedia untuk bekerjasama dengan PH kerana sebuah parti dalam gabungan itu yang tidak bersikap pro Melayu dan Bumiputera, serta sejarahnya yang mempertikaikan hak istimewa Bumiputera.
Walaupun dia tidak menyebut nama parti berkenaan, Muhyiddin dipercayai merujuk kepada DAP yang selama ini berdepan dengan persepsi sebagai sebuah parti Cina.
"Kita tak boleh bersama dengan jemaah sebegitu. Saya tak fikir perkara itu boleh berlaku kecuali rombakan besar PH yang kita boleh meneliti balik," katanya.
Semalam Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata tiada sebarang perbincangan dalam PH berhubung cadangan kerjasama dengan PN seperti yang diutarakan Idris Haron.
Anwar berkata pandangan bekas ketua menteri Melaka itu merupakan cadangan bersifat peribadi dan PKR tidak pernah memberikan idea berkenaan.
“Itu pandangan peribadi beliau, ia belum pun diangkat...kami dalam parti tidak melontarkan idea seperti itu, kerana terlalu banyak implikasi," katanya.