mk-logo
Berita
Lawatan PM ke Klang tidak mencukupi - MP
Diterbitkan:  Dec 19, 2021 2:20 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago kecewa kerana dia tidak dimaklumkan oleh pejabat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terlebih dahulu mengenai lawatan pemimpin negara ke kawasan yang dilanda banjir.

Santiago berkata sebagai seorang wakil rakyat di situ, dia akan mengambil kesempatan untuk menjelaskan kepada perdana menteri mengapa dana segera diperlukan untuk mengurangkan situasi banjir berulang lagi di kawasan itu.

“Bayangkan betapa terkejutnya saya apabila media menghantar kenyataan akhbar dari pejabatnya yang memaklumkan bahawa dia datang melawat mangsa banjir di dua kawasan di Klang.

"Pejabatnya sepatutnya memaklumkan kepada saya atau wakil kerajaan negeri. Dengan tidak berbuat demikian menunjukkan dia tidak berminat untuk bekerjasama atau tidak berminat untuk mengetahui tentang apa yang sebenarnya berlaku di lapangan dan bagaimana kita boleh bekerjasama untuk mengurangkan banjir yang sering terjadi.

"(Hanya) berjalan masuk ke pusat pemindahan sementara dan mengadakan perbualan ringkas dengan mangsa banjir mungkin menyedapkan hati orang ramai tetapi ia tidak mencukupi," kata Santiago.

Susulan hujan lebat dan banjir, lebih 14,000 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,189 pagi ini dan Selangor mencatatkan 4,596 orang di PPS.

Kebanyakan mangsa banjir di Selangor adalah dari kawasan Klang.

"Adalah menjadi tanggungjawab Ismail Sabri untuk bersikap inklusif dan melibatkan semua pihak berkepentingan jika dia benar-benar mencari penyelesaian yang lebih bertahan untuk banjir kilat di Klang.

"Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa kunjungan ini, tanpa bekerjasama dengan pejabat saya, Adun dan ahli Majlis MPK, ia bertentangan dengan semangat Keluarga Malaysia, yang diuar-uarkan oleh perdana menteri dan sama sekali tidak layak untuk memegang jawatan tertinggi di negara ini.

“Dan ia mengecewakan,” kata Santiago.

Santiago dan pejabatnya sedang menjalankan usaha untuk membantu mereka yang terjejas dan mana-mana pihak yang berminat untuk membantu boleh klik di sini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS