Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM minta JKM pastikan setiap mangsa banjir terima bantuan disalurkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya memastikan setiap mangsa banjir menerima kemudahan dan bantuan yang disalurkan.

Ismail Sabri dalam catatan di Facebook hari ini berkongsi video lawatannya ke Sekolah Kebangsaan Johan Setia di Klang hari ini, untuk meninjau keadaan mangsa-mangsa banjir.

“Saya terkesan melihat keadaan yang menimpa mangsa-mangsa banjir di SK Johan Setia di Klang. Hari ini sahaja kira-kira 690 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir berkenaan, dan saya sempat menyantuni mangsa-mangsa yang terdiri daripada warga emas, Orang Kurang Upaya dan anak-anak kecil,” katanya.

Dalam catatan terdahulu, perdana menteri turut berkongsi tinjauan ke atas penduduk Kampung Bukit Lanchong, yang terkandas di kawasan Putra Heights Selangor akibat banjir.

Dia juga berkongsi video lawatannya ketika hujan lebat di kawasan itu awal pagi tadi.

Dalam catatan Facebook beliau yang seterusnya Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus bersama rakyat dalam menghadapi bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dan Negeri serta agensi terlibat, telah diminta untuk sentiasa memastikan segala kebajikan mangsa diberi perhatian serta-merta.

“Saya juga telah mengarahkan semua kementerian berkaitan melipatgandakan lagi usaha dalam membantu operasi banjir, khususnya di kawasan yang terjejas teruk secepat mungkin. Saya berdoa semoga Keluarga Malaysia yang terkesan sentiasa tabah menghadapi musibah ini,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, beliau turut meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telok Gong dan Masjid Al-Islah Kampung Nelayan Teluk Gong, yang kedua-duanya di Klang hari ini.

Tinjauan itu bagi memastikan keadaan mangsa selamat dan segala keperluan asas mencukupi sepanjang ditempatkan di PPS.

Sejak malam tadi sehinggalah pagi ini, Perdana Menteri secara terus-menerus meninjau operasi menyelamat di sekitar Selangor, dan menziarahi mangsa yang ditempatkan di PPS.

“Saya sangat simpati dengan keadaan mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan musibah ini,” kata beliau.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS