Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 20 tahun hadapi banjir, PPS sudah jadi rumah kedua Mek Yam

"Lebih 20 tahun saya berdepan dengan banjir dan setiap kali banjir saya telah bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan ini," kata Mek Yam Hamad, 80, seorang daripada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan sejak dua hari lepas.

Warga emas dari Kampung Bendang Perol, Tok Deh dekat Rantau Panjang itu berkata situasi itu sudah menjadi lumrah baginya serta enam ahli keluarganya yang lain kerana penempatan yang mereka diami berada di kawasan rendah.

Katanya, pengalaman itu menyebabkan dia mengambil inisiatif membuat persiapan awal pada akhir Oktober lepas sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang sudah menjadi kebiasaan akan melanda negeri ini.

"Tahun ini sahaja saya serta enam anak dan hampir 20 cucu sudah berpindah ke PPS ini sebanyak tiga kali.

"Kediaman saya mudah dinaiki air kerana berada di kawasan rendah selain ia turut menjadi laluan air yang melimpah berpunca daripada hujan lebat," katanya ketika ditemui di PPS itu semalam.

Mengulas lanjut, ibu tunggal itu berkata sejak Jumaat lepas, dia serta anak dan cucu terpaksa berpindah ke PPS tersebut selepas penempatan mereka dinaiki air sehingga mencecah hampir 0.8 meter (m) hingga 1.5 m.

“Kami berpindah sekitar 12 tengah malam menggunakan perahu yang diberikan penghulu kampung untuk kegunaan kami sekeluarga sejak lebih 10 tahun lepas memandangkan penempatan kami sering dilanda banjir.

“Cucu saya, Muhammad Shahmi Abdul Majid, 17, membantu mengemudi perahu untuk memindahkan kami semua dengan terpaksa mengharungi air banjir hampir 800 meter untuk sampai ke PPS dengan berulang-alik mengambil ahli keluarga yang lain sebanyak enam kali," katanya.

Mek Yam berkata kebiasaannya, penempatan mereka berisiko untuk berdepan dengan ‘banjir termenung’ kerana air sukar untuk surut dan akan bertakung dalam tempoh yang agak lama.

"Paling lama kami pernah menetap di PPS ini adalah selama dua minggu disebabkan banjir termenung.

"Walaupun agak letih kerana sering berpindah ke PPS apabila banjir berlaku, itulah antara pengalaman yang dilalui saya sepanjang hidup ini," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS