Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Agong redah banjir tinjau situasi bencana
Diterbitkan:  Dec 19, 2021 9:39 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meredah air banjir di sekitar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, malam tadi ketika meninjau situasi banjir di ibu negara.

Keberangkatan Seri Paduka bagi meninjau situasi banjir susulan hujan lebat sejak Jumaat itu turut dirakamkan dan dimuat naik di laman Facebook Istana Negara.

Catatan itu menyatakan Seri Paduka telah berkenan turun dari kenderaan Baginda sewaktu hujan lebat di jalan susur menghala WTC dan meredah air banjir bagi melihat sendiri situasi di sekitar kawasan tersebut.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat baginda tanpa mengira tempat, masa dan cuaca,” menurut catatan tersebut.

Lembah Klang dilanda banjir menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara serta sejumlah pengguna jalan raya terkandas akibat laluan yang dinaiki air dan ditutup.

Selain Lembah Klang, banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera.

- Bernama


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS