story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tolong mangsa banjir: MP Klang rayu bantuan bot, 4WD
Diterbitkan:  Dec 19, 2021 9:00 AM
Dikemaskini: 2:07 AM

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago merayu para sukarelawan yang boleh meminjamkan atau menyewa kenderaan 4WD dan bot mereka untuk menyampaikan bantuan mangsa banjir di kawasannya yang dilanda.

“Kakitangan dan sukarelawan kami turut menjadi mangsa banjir dan kami menghadapi kekurangan tenaga kerja untuk mengagihkan makanan dan air.

“Oleh itu, kami perlu mengambil lebih ramai sukarelawan untuk pengagihan makanan dan kerja menyelamat.

"Kami juga memerlukan lebih banyak kenderaan 4WD dan bot untuk sampai kepada mangsa. Sesiapa yang berminat untuk menjadi sukarelawan atau meminjamkan/ menyewa kenderaan dan bot anda, sila hubungi Puspa di talian 0126066114," kata Charles pada hantaran Facebook awal pagi ini.

Hujan lebat berterusan yang mendatangkan bencana alam di Lembah Klang dan negeri lain. Klang merupakan kawasan yang paling terjejas akibat banjir.

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor Norazam Khamis berkata sebanyak 20 pusat pemindahan banjir telah dibuka di Klang untuk menempatkan 2,604 mangsa.

Katanya, kebanyakan mangsa dipindahkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan SK Johan Setia, masing-masing seramai 681 orang dan 793 orang.

Charles berkata pejabatnya baru sahaja menyediakan 3,000 bakul makanan dan mengagihkannya kepada penduduk terjejas di sembilan kawasan sebentar tadi iaitu: Bayu Perdana, Melawis, Taman Setia, Palm Groove, Telok Gong, Klang Utama, Pandamaran, Pelabuhan Klang dan Taman Sentosa.

"Pasukan kami akan terus menggerakkan dan memaksimumkan sumber dan tenaga kerja yang kami ada untuk pengagihan makanan pada Ahad. Kami ingin mendekati lebih ramai orang, seramai yang mungkin,

Dia memberi amaran bahawa keadaan akan kekal sedemikian atau lebih teruk lagi pada hari ini.

“Hujan lebat dan angin kencang terus melanda Klang setakat satu pagi, dan Jabatan Meteorologi Malaysia juga telah mengeluarkan amaran merah – berikutan tahap bahaya hujan lebat berterusan sehingga esok.

"Paras air juga dijangka meningkat. Sila kekal berjaga-jaga. Perdana Menteri Ismail Sabri hanya menjawab bantahan orang ramai pada pukul 11 malam tadi dan berjanji akan menggerakkan pasukan keselamatan untuk membantu mangsa.

“Sila hubungi talian kecemasan di talian 03-56500503/ 56500504/ 56500599 sekiranya anda dan ahli keluarga masih belum diselamatkan,” katanya.

Charles berkata banjir melanda Klang dengan teruk, banyak keluarga telah dipindahkan dari rumah mereka, dengan kerosakan perabot dan peralatan elektrik.

"Setakat ini, kami memerlukan lebih banyak bantuan kecemasan untuk barangan bantuan segera di pusat pemindahan. Sesiapa yang berminat untuk menderma barangan sila hubungi Puspa. Senarai dinyatakan seperti di bawah:

  • - air mineral
  • - makanan kering
  • - topeng muka
  • - pembersih tangan
  • - pakaian bersaiz dewasa dan bersaiz bayi
  • - lampin
  • - tuala sanitari
  • - selimut

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS