Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir di Selangor luar jangka, kerajaan persekutuan salur bantuan segera

Keadaan banjir di Lembah Klang ketika ini, terutama Selangor disifatkan luar jangka dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bertambah.

Hujan berterusan kadang kala lebat selama dua hari di sekitar Lembah Klang menyebabkan ramai yang tidak bersedia dan terperangkap sama ada di kediaman mereka atau di dalam kenderaan di jalan-jalan utama yang dinaiki air.

Melalui perkongsian orang awam di media sosial memaparkan jalan dan penempatan di Selangor dinaiki air antaranya di Shah Alam dan Pelabuhan Klang dan suara-suara meminta bantuan daripada individu yang terperangkap akibat banjir memenuhi media-media sosial.

Keadaan banjir itu menyebabkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memohon bantuan dari kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah banjir dan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu, yang paling teruk terjejas kali ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas malam ini (18 Dis) memaklumkan kebiasaannya persiapan menghadapi banjir di beberapa negeri antaranya Kelantan, Pahang dan Terengganu dibuat lebih awal, namun keadaan banjir di Selangor seolah-olah ‘mengejut’.

“Saya baca di media sosial, ada juga yang hantar direct kepada saya mohon bantuan kerana ada yang sakit.

“Ada yang dalam bas terperangkap lapan jam dia maklumkan kepada saya, saya dah maklumkan kepada bomba untuk ke tempat itu, cuma keadaan waktu itu banyak kereta lain juga terperangkap jadi kita selamatkan mereka yang lemah,” kata Ismail Sabri.

Sebanyak 45 PPS dibuka dengan 3,826 mangsa daripada 2,551 keluarga ditempatkan setakat ini di Selangor dan 453 aset kenderaan dan logistik pelbagai agensi penguat kuasa digerakkan dengan melibatkan 2,817 anggota.

Perdana Menteri memberi jaminan keselamatan mangsa menjadi keutamaan kerajaan selain memastikan bekalan makanan disediakan untuk mangsa banjir terutama di sekitar Lembah Klang.

Setakat petang Sabtu, beberapa plaza tol ditutup termasuk Plaza Tol Shah Alam dan jalan susur persimpangannya dengan satu-satu jalan keluar yang dibuka untuk dilalui ialah di Plaza Tol Subang dan Seafield untuk laluan ke arah selatan dan utara.

Tinjauan melalui media sosial juga mendapati berlaku kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi iaitu di KM62.9 lebuh raya Karak-Bentong; laluan Saujana Utama ke Elmina (berhampiran Lebuhraya Guthrie) jalan menuju Bukit Lanjan, Damansara serta Jalan Taman Melawati 1.

Situasi di negeri lain yang mengalami banjir seperti Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Kelantan turut menyaksikan pertambahan mangsa yang dipindahkan ke PPS susulan air banjir belum surut berikutan hujan berterusan.

Ekoran cuaca buruk itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi hantaran di Facebook malam tadi memaklumkan bekalan elektrik di 82 kawasan di Klang, Shah Alam (57), Pelabuhan Klang (enam), Sepang (tiga) dan Banting (dua) terputus dan belum pulih.

Selain itu, bekalan elektrik yang terputus di 20 kawasan di Pahang melibatkan Kuantan, Bentong, Jerantut dan Kuala Lipis; lapan lokasi di Melaka; tujuh di Kelantan membabitkan jajahan Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang juga belum pulih.

Sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan COVID-19, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan berkata mangsa banjir yang bergejala, berisiko atau positif akan diasingkan di pusat kuarantin.

Beliau berkata sebelum dibenarkan memasuki PPS, mangsa banjir akan disaring terlebih dahulu untuk mengesan jika mempunyai gejala dan faktor risiko COVID-19, manakala bagi kes positif akan diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) atau PPS Khas atau dirujuk ke hospital mengikut keperluan.

Sehingga pukul 11 malam tadi, sebanyak 188 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di enam negeri yang terjejas banjir susulan hujan lebat sejak semalam, melibatkan 11,384 mangsa daripada 4,500 keluarga.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS