Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA: Keputusan tamatkan Touch N Go, SmartTag dibuat tergesa-gesa
Diterbitkan:  Dec 18, 2021 4:40 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Pemuda MCA menggesa Kementerian Kerja Raya mengkaji semula keputusan menamatkan sistem ‘Touch N Go’ dan SmartTag bagi pembayaran tol lebuh raya secara berperingkat.

Naib Pengerusi Pemuda MCA, Chua Hock Kuan berkata, meskipun pihaknya mengalu-alukan lebih banyak pembukaan laluan tol menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), namun masa secukupnya perlu diberi kepada pengguna untuk beralih kepada teknologi berkenaan.

"Pengumuman KKR bahawa kedua-dua ‘Touch N Go’ dan SmartTag akan ditamatkan secara berperingkat dilihat ramai sebagai satu keputusan yang tergesa-gesa.

"Pemuda MCA sedar bahawa kerajaan ingin mengoptimumkan fasiliti demi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, namun kesusahan rakyat juga harus diambil kira.

"Oleh itu, dicadangkan supaya kerajaan menaik taraf fasiliti yang sedia ada terlebih dahulu, termasuk mengarahkan penyedia perkhidmatan ‘Touch N Go’ untuk menyediakan fungsi tambah nilai, pada masa sama mengoptimumkan sistem RFID," katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini Kementerian Kerja Raya mengumumkan Transaksi tol menggunakan untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bermula 15 Jan depan.

Kementerian itu memaklumkan kutipan tol menggunakan kad Touch 'n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID.

Chua berkata berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat 31 Disember 2019, jumlah kenderaan yang didaftarkan di Malaysia adalah sebanyak 31.2 juta, di mana lebih 50 peratus daripadanya adalah kereta, van dan lain-lain.

"Memaksa kesemua kenderaan ini untuk bertukar kepada RFID sudah tentu akan membangkitkan pelbagai masalah.

"Sebaliknya, kerajaan boleh mewajibkan kenderaan-kenderaan yang baru didaftar dilengkapi dengan RFID, dan seterusnya memberhentikan penggunaan sistem ‘Touch N Go’ secara berperingkat selepas majoriti kenderaan dilengkapi dengan RFID ini," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS