Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO gesa jaga kebajikan rakyat Malaysia terkandas di luar negara

Sebuah NGO hari ini menggesa kerajaan supaya mempermudahkan urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Pertubuhan Peneraju Insan Sungai Siput daripada Perak membuat gesaan itu selepas membantu Rogayah Abdullah, wanita 35 tahun daripada Kedah yang tinggal di Sulawesi, Indonesia, untuk pulang ke Malaysia.

Setiausaha NGO Indrani Selvakumar berkata Rogayah yang ingin pulang ke Malaysia selepas kematian suami warga Indonesia pada Julai lalu, menemui jalan buntu kerana mempunyai masalah kewangan dan isu kerakyatan anak.

Indrani berkata seorang anaknya yang lahir di Kendari, Sulawesi gagal mendapat pasport daripada kedutaan Malaysia.

Katanya, kanak-kanak empat bulan itu terpaksa menggunakan pasport Indonesia yang diperoleh atas bantuan imigresen republik itu yang menahan mereka atas kesalahan tinggal lebih masa.

"Wanita itu menghubungi kedutaan kita di Jakarta, dia diberitahu bahawa tidak boleh dibantu dan kena berusaha sendiri untuk menyediakan segala dokumen yang diperlukan untuk pulang ke Malaysia.

“Malah, kedutaan kita juga memberitahu bahawa tidak ada peruntukan untuk membantu dari segi kewangan untuk pulang ke Malaysia. Mereka juga berkata kedutaan tiada tempat untuk menampung keluarga ini.

"Apa fungsi kedutaan kita di luar negara jika tidak dapat bantu rakyat sendiri? SOP (prosedur operasi piawai) apa yang diamalkan sehingga menindas rakyat sendiri?" soalnya.

Indrani berkata berkata mereka membantu kewangan wanita itu selepas mendapat tahu isu itu menerusi kakak wanita tersebut yang tinggal di Sungai Siput.

"Kami menerima kes ini sekitar akhir bulan Oktober. Ketika, saya hubungi Kedutaan Malaysia di Jakarta, saya terkejut dengan jawapan mereka bahawa kedutaan tidak boleh bantu kerana wanita itu tidak mempunyai dokumen lengkap untuk pulang.

"Kemudian, kami menghubungi pihak Imigresen Indonesia yang sudi bantu dalam kes anak ketiganya mendapatkan pasport.

“Mereka hanya minta surat nikah asal sebagai bukti. Selepas, menyerahkan surat nikah, dalam masa 24 jam pihak imigresen menyediakan pasport kepada anak ketiga," katanya.

"Satu-satunya bantuan diterima daripada kedutaan kita adalah memberi surat atas permintaan kami yang menyatakan bahawa wanita ini sangat daif dan segala kos untuk kuarantin di Malaysia perlu dikecualikan.

“Dia pulang ke Malaysia pada 9 Disember. Segala kos penerbangan termasuk tiket untuk empat orang ditanggung oleh NGO kami," katanya.

NGO itu juga berkata mereka berunding dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan pelepasan kos ujian Covid-19 di lapangan terbang selain bayaran kuarantin kira-kira RM4,000.

Dakwa mereka, pada mulanya, KKM tidak melayan surat kedutaan Malaysia yang memaklumkan permohonan kuarantin di rumah dan menahan wanita itu dan tiga anaknya hampir tiga jam.

"Selepas, perbincangan antara kami dengan pihak KKM, dan khususnya atas ihsan seorang pegawai daripada bahagian hasil, wanita itu diberikan kuarantin percuma selama 10 hari.

"Saya melihat kes ini sebagai 'membuka mata' kepada kerajaan agar mengkaji semula SOP dalam urusan membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS