Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar redah banjir jumpa penduduk PD
Diterbitkan:  Dec 18, 2021 1:10 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim berada di Port Dickson hari ini untuk meninjau beberapa kawasan yang dilanda banjir akibat hujan lebat sejak semalam.

"Saya turut bertemu dengan mangsa-mangsa banjir di Taman Desa Permai, Sri Tanjung.

"Saya telah arahkan bantuan segera diberikan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan beban mereka.

"Saya juga melihat perlunya rencana besar terkait sistem tebatan banjir bagi memastikan bencana ini dapat dielakkan di masa hadapan," kata Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam kenyataan di Twitter, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memaklumkan bahawa sehingga kini sebanyak 33 Pusat Pemindahan Sementara telah dibuka di tiga daerah iaitu Klang, Kuala Langat dan Sepang. 

"Kerajaan negeri sedang mengerakkan semua agensi berkaitan dengan kerjasama PBT dan PDT untuk memindahkan mangsa dan memberi bantuan kecemasan segera," katanya.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang meningkat kepada 1,019 daripada 230 keluarga setakat 8 malam tadi.

Di Pahang, Maran dan Raub, banjir menyebabkan 218 orang daripada 60 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan.

Di Kelantan, jumlah mangsa meningkat kepada 735 daripada 156 keluarga manakala di Terengganu jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 66 daripada 14 keluarga setakat 8 malam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS