Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu menolak cadangan agar Perikatan Nasional (PN) bersama Pakatan Harapan (PH) menghadapi BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Sebaliknya, Ahmad Faizal menasihati bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron yang mengemukakan cadangan itu supaya menghabiskan masa untuk 'belajar mengaji'.
"Saya nak cadangkan Idris Haron, mungkin sebagai kawan lama. Saya selepas jadi MB Perak, saya lapan bulan cuti, saya belajar mengaji.
"Saya belajar betulkan bacaan dalam sembahyang dan sebagainya, jadi Idris Haron sekarang banyak masa elok buat macam tu," katanya dalam sidang media hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan yang Idris mencadangkan agar PH dan PN bersama menentang BN pada PRU akan datang.
Idris yang kini telah menyertai PKR berkata, PH memerlukan 'faktor wow" untuk memenangi PRU dan hal itu tidak akan dapat dicapai sekiranya gabungan itu bergerak secara sendirian.
"Saya lihat kalau PH pergi solo, kita mungkin hadapi kesukaran mendapat sokongan pengundi-pengundi yang ikut parti.
"Jadi saya melihat wow faktor tu, salah satunya kalau ada kerjasama antara PH dan PN semula," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif minggu lalu.
Mengulas hal itu, Ahmad Faizal berkata cadangan itu tidak mungkin dapat direalisasikan.
"Saya ingat cadangan beliau (Idris) tu bukan cadangan yang tak baik. Cadangan untuk menyatupadukan sesiapa adalah cadangan yang baik.
"Tapi kalau nak campur air laut dengan air tawar kemudian bela ikan, itu bukan cadangan yang baik menurut saya," katanya.
Sementara itu, Ahmad Faizal juga ditanya mengenai khabar angin bahawa Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu, Zuraida Kamaruddin akan meninggalkan parti itu untuk menyertai sebuah parti lain.
Meskipun tidak menafikannya, Ahmad Faizal berkata khabar angin tidak semestinya betul.
"Ada juga rumours yang kata saya kahwin dua. Tapi rumours tak semestinya betul.
"Yang keduanya, ada juga masa saya tak berapa gembira dengan isteri saya, tak semestinya saya nak kahwin dua.
"Sebagai sebuah parti yang besar, tentu ada di kalangan ahli yang rasa tak puas hati, tapi tak sampai tahap nak pecah-belahkan parti," katanya.