Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Sinovac dakwa penggalaknya mampu hasilkan antibodi anti-Omicron
Diterbitkan:  Dec 16, 2021 10:24 PM
Dikemaskini: 2:24 PM

Dos ketiga vaksin Covid-19 Sinovac boleh meningkatkan antibodi yang menyasarkan varian Omicron dengan berkesan, menurut laporan media negara China, Global Times.

Syarikat itu dilaporkan membuat penjelasan mengenai ujian peneutralan antibodi yang telah dijalankannya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Global Times semalam.

"Sinovac berkata data menunjukkan bahawa pemberian suntikan penggalak vaksinnya boleh meningkatkan kapasiti peneutralan vaksin kepada varian Omicron secara berkesan," kata laporan yang diterbitkan semalam.

Menurut laporan itu lagi, kajian itu melibatkan ujian sampel darah daripada 68 orang yang telah mengambil vaksin syarikat itu bagi berdepan dengan varian Omicron.

Daripada jumlah itu 20 yang telah menerima dua dos, manakala selebihnya telah menerima tiga dos.

Dapatan kajian menunjukkan hanya tujuh orang dalam kumpulan pertama mempunyai antibodi yang mencukupi bagi menghadapi Omicron untuk dianggap seropositif, sepadan dengan kadar serokonversi sebanyak 35 peratus.

Sementara itu, 45 orang dalam kumpulan kedua menghasilkan antibodi peneutral terhadap varian Omicron dengan kadar seroconversion sebanyak 94 peratus.

Laporan itu tidak menerangkan tahap antibodi yang dikesan, terutamanya berbanding dengan varian lain atau vaksin lain.

Tahap antibodi yang tinggi secara kasarnya dikaitkan dengan perlindungan yang lebih kuat terhadap jangkitan, walaupun tahap tepat yang diperlukan untuk memberikan perlindungan yang mencukupi tidak diketahui.

Antibodi juga hanya satu aspek tindak balas imun yang rumit, dan tahap antibodi menawarkan sedikit pandangan tentang perlindungan terhadap penyakit yang teruk dan kematian di mana aspek tindak balas imun lain seperti sel T boleh memainkan peranan yang lebih kuat.

Laporan Global Times muncul selepas penyelidik di Universiti Hong Kong (HKU) melaporkan penemuan ujian peneutralan antibodi mereka sendiri, yang menawarkan gambaran pertama di dunia tentang prestasi vaksin Sinovac terhadap varian baru itu.

Ia menunjukkan dengan dua dos, sama ada vaksin BioNTech atau vaksin Sinovac, kedua-dua kumpulan penerima vaksin tidak mempunyai tahap antibodi yang mencukupi untuk menangkis varian Omicron.

"Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan dos ketiga vaksin secepat mungkin sementara menunggu generasi baru vaksin yang lebih sepadan," kata penyelidik HKU pada Selasa.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS