Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSB ikrar lantik KM Dayak jika menang di Sarawak

PRN SARAWAK | Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan mencalonkan ketua menteri Dayak sekiranya ia membentuk kerajaan negeri dan mendapat perwakilan yang mencukupi daripada Adun berketurunan Dayak.

Bercakap kepada pemberita di Sibu hari ini, Presiden PSB, Wong Soon Koh menegaskan parti itu merupakan parti berbilang kaum namun sebilangan besar daripada 70 calon mereka adalah berketurunan Dayak.

"Jika kita mahu ketua menteri Dayak, keluar habis-habisan dan undi PSB. Jika kita dapat sokongan penuh daripada masyarakat Dayak - Iban, Bidayuh dan Orang Ulu - maka jelas kita akan menamakan ketua menteri Dayak.

“Dalam erti kata lain, jika anda mahukan ketua menteri Dayak, anda mesti mengundi PSB,” kata Wong.

Manifesto PSB tidak secara jelas menjanjikan seorang ketua menteri berketurunan Dayak. Sebaliknya, PSB menjanjikan sebuah kerajaan negeri di mana ketua menteri dan empat timbalan menteri akan mewakili kumpulan etnik yang berbeza.

Kali terakhir Sarawak memiliki ketua menteri dari keturunan Dayak ialah Tawi Sli yang melepaskan jawatan itu pada tahun 1970 dan digantikan oleh Abdul Rahman Ya'kub. Sejak itu, jawatan ketua menteri Sarawak bukan dari kalangan kaum Dayak.

Kaum Dayak adalah etnik majoriti di Sarawak, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan.

Ini bukan kali pertama Wong mengemukakan idea untuk memilih ketua menteri Sarawak di kalangan kaum Dayak. Bagaimanapun, dia menyatakan perkara itu hari ini tanpa ditanya oleh pemberita.

Menjawab soalan mengapa PSB tidak mencalonkan ketua menteri, Wong berkata keutamaan pada masa ini adalah untuk menang terlebih dahulu sebelum memilih ketua menteri.

Wong juga menggesa masyarakat Cina menyokong calon PSB bagi memastikan komuniti mereka diwakili sekiranya parti itu membentuk kerajaan.

"Sudah pasti kerajaan PSB akan memasukkan wakil dari Sibu, Kuching, Miri dan Bintulu. Kami memerlukan perwakilan di bandar-bandar besar untuk memastikan suara semua orang dapat didengari dalam kerajaan," katanya.

PSB meletakkan seramai 38 calon berketurunan Dayak, diikuti 18 calon Melayu-Melanau dan 14 calon berketurunan Cina.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS