Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes 1MDB: Najib dibenarkan masuk mahkamah walau masih kontak kasual

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini dibenarkan hadir ke perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB, walaupun masih diklasifikasikan sebagai kontak kasual dalam aplikasi MySejahtera.

Najib dilihat berada di kandang tertuduh ketika perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguamnya, Hariharan Tara Singh memberitahu Sequerah bahawa kehadiran Najib hari ini tidak melanggar peraturan yang digariskan pihak berkuasa dan mahkamah.

“Kami ingin menyatakan yang dia (Najib) tidak menyalahi peraturan kerajaan dan arahan mahkamah,” katanya.

Ketika dihubungi kemudian, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Mustaffa P Kunyalam mengesahkan status Najib dalam MySejahtera masih berwarna kuning, setakat pag ini.

Prosiding diteruskan dengan Hariharan memeriksa balas saksi pendakwaan, Ismee Ismail, yang merupakan bekas ahli lembaga pengarah 1MDB.

SOP di mahkamah

Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mahkamah yang dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan yang berkuat kuasa 7 Januari lalu, tidak menyatakan secara khusus individu yang diklasifikasikan sebagai kontak kasual dilarang masuk ke kawasan mahkamah.

SOP itu hanya menyatakan larangan masuk terhadap mereka yang menunjukkan gejala Covid-19 seperti demam, batuk dan sukar bernafas, menjadi kontak rapat kes positif, serta dikategorikan sebagai Individu Dalam Siasatan (PUI)/Individu Dalam Pemantauan (PUS), serta mereka yang sedang menunggu keputusan ujian saringan.

Pada Isnin dan Selasa lalu, Najib dilarang masuk ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ekoran status kuning dalam MySejahtera, menyebabkan perbicaraan kes tersebut ditangguhkan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS