Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes kedua Omicron dikesan, libatkan kanak-kanak 8 tahun
Diterbitkan:  Dec 16, 2021 11:56 AM
Dikemaskini: 5:45 AM

Kementerian Kesihatan mengesahkan kes kedua Covid-19 varian Omicron di Malaysia. 

Ia melibatkan seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun yang pulang daripada Nigeria.

Menteri Pendidikan Khairy Jamaluddin berkata 18 orang lagi mungkin dijangkiti Omicron tetapi ia belum dapat disahkan sementara menunggu ujian penjujukan genom.

Keputusan itu dijangka diumumkan esok.

Khairy Jamaluddin (kanan)

Bercakap dalam sidang media di parlimen hari ini, Khairy berkata kanak-kanak yang positif Omicron itu tinggal bersama keluarganya di Lagos, Nigeria.

Sebelum terbang ke Malaysia, ujian saringan RT-PCR mendapati dia, ibu dan adik perempuannya negatif Covid-19.

Mereka tiba di Malaysia pada 5 Disember selepas transit di Doha.

Selepas tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, mereka dikuarantin. Ujian saringan kedua RT-PCR mendapati mereka positif Covid-19.

Selepas seminggu, kes itu disahkan sebagai Omicron pada 14 Disember.

Kanak-kanak itu yang tidak mempunyai sebarang simpton menjalani perintah kuarantin di rumah selama 14 hari bermula 7 Disember.

Kes pertama dikesan 3 November lalu melibatkan seorang pelajar warga asing berusia 19 tahun. 

35 orang dalam kapal terbang, semua negatif

Sementara itu, Khairy berkata terdapat 35 orang dalam penerbangan bersama kanak-kanak itu bagaimanapun ujian RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelima menunjukkan keputusan negatif.

“Pihak Kementerian Kesihatan bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan pejabat kesihatan daerah meneruskan siasatan lanjut termasuk siasatan kontak semasa dalam penerbangan.

“Buat masa ini, punca jangkitan kes masih dalam siasatan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS