Budaya buli khususnya dalam kalangan pelajar tidak akan berleluasa sekiranya mereka benar-benar menghayati serta mempelajari nilai-nilai murni yang diterapkan dalam kurikulum Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral di sekolah sejak sekian lama, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (Page).
Bagaimanapun, pengerusinya, Noor Azimah Abdul Rahim, berkata nilai-nilai murni itu gagal dihayati sehingga mengakibatkan berleluasanya kes buli dalam kalangan pelajar.
"Pendidikan Moral diajar kepada pelajar-pelajar bukan Islam dan mereka mendapat manfaat yang besar daripadanya.
"Pelajar Islam pula sepatutnya telah menghayati nilai-nilai murni melalui Pendidikan Islam.
"Bagaimanapun, nilai-nilai murni yang telah cuba diterapkan ustaz dan ustazah di nampaknya tidak dihayati oleh pelajar-pelajar Islam," katanya.
Justeru menurut Noor Azimah, itulah punca mengapa kes buli di sekolah - termasuk dalam aliran agama - mencatatkan insiden buli yang tinggi.
Bercakap kepada Malaysiakini Noor Azimah berkata kejadian buli bukan sahaja membabitkan sesama pelajar malah dalam kes tertentu turut melibatkan guru.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membanteras kejadian buli di sekolah termasuk dalam kalangan murid asrama selepas kejadian sebegitu terus berlarutan sekian lama.
Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin semasa menggulung perbahasan di Dewan Rakyat pada Isnin lalu berkata KPM akan memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera.
Kata senator terbabit ia kini berada di peringkat akhir dalam sesi libat urus.
Menurut Mohd Radzi, konsep Sekolahku Sejahtera mempunyai 14 elemen yang memerlukan guru menerapkan nilai murni secara semula jadi.
Dengan konsep itu kata Mohd Radzi ia diharap dapat mencegah kejadian buli di sekolah selain menyediakan saluran pelaporan yang membolehkan pihak yang berkenaan melaporkan kes buli kepada KPM.
Atasi juga beban guru, warden
Noor Azimah berkata kegagalan pelajar menghayati nilai-nilai murni dalam dua kurikulum pendidikan di sekolah itu harus diteliti dan dianalisis bagi mencari puncanya.
"Islam sepatutnya menjadi agama belas kasihan, berperikemanusiaan dan adil," katanya.
Menurut Noor Azimah pandangan Page itu sebenarnya selaras dengan apa yang dibangkitkan Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, baru-baru ini.
Wan Salim dalam kenyataan kelmarin berkata kurikulum pendidikan Islam dan moral yang digunakan di sekolah sebagai tidak berkesan membentuk akhlak pelajar yang baik dan ia menjadi punca kejadian buli masih berlaku.
Justeru kata Wan Salim, KPM perlu berusaha meningkatkan pendidikan akhlak di sekolah termasuk aspek praktikal supaya ia menjadi alat yang berkesan dalam membentuk sahsiah pelajar.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, memberitahu Malaysiakini pihaknya bersetuju dengan pelaksanaan konsep Sekolahku Sejahtera yang akan diperkenalkan oleh KPM itu.
Bagaimanapun, kata Mohd Azizee, apa yang diharapkan iGuru ialah konsep tersebut bukan saja mensejahterakan komuniti sekolah seperti warga guru dan murid malah ibu bapa.
"Sekolahku Sejahtera diharap bukan sahaja mengatasi masalah buli tetapi isu lain seperti beban tugas guru, beban murid dan beban tugas warden dan lain-lain," katanya.
Menurut Mohd Azizee, aspek kesejahteraan mental dan emosi perlu diberi penekanan kerana anak-anak terdedah dengan pelbagai cabaran manakala guru pula berdepan dengan pelbagai tekanan termasuk terdedah kepada tindakan undang- undang.
Wujud jawatan warden sekolah
Ketika ini katanya ada segelintir ibu bapa sudah berasakan sekolah tidak lagi selamat untuk pendidikan anak-anak mereka.
"KPM perlu kembali kepada asas falsafah pendidikan kebangsaan dalam merangka apa jua dasar dan program.
"Pendidikan yang holistik bagi membangunkan insan yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek amat penting dengan berpaksikan dasar kepercayaan kepada Tuhan.
"Dalam menangani isu buli ini, kami berharap KPM tidak sekadar melancarkan program Sekolahku Sejahtera tetapi perlu melihat juga kebajikan warga guru seperti beban tugas warden dengan elaun yang tidak setimpal dan pemotongan elaun rumah," katanya.
Tambah Mohd Azizee, sudah sampai masa untuk KPM mewujudkan perjawatan khas warden di sekolah untuk tangani isu buli demi keselamatan dan kesejahteraan ekosistem sekolah.
Baru-baru ini tular insiden buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar. Ekoran daripada itu, pada 14 Dis lalu Jawatankuasa Disiplin MRSM memecat 10 pelajar yang terlibat dalam kejadian itu berkuat kuasa serta-merta.
Kes buli melibatkan pelajar asrama itu bukanlah kali pertama berlaku malah ia adalah rentetan kepada insiden-insiden lain yang dialami oleh penghuni sekolah berasrama itu seperti apa yang yang menimpa arwah Zulfarhan Osman Zulkarnian sebelum ini.
Berdasarkan keterangan di mahkamah, Zulfarhan diseksa sekumpulan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan dia meninggal dunia akibat 90 luka melecur daripada seterika wap yang digunakan enam tertuduh.
Mereka kemudian dihukum penjara 18 tahun selepas didapati bersalah membunuh tanpa niat.