Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRN SARAWAK | Pada malam Aidilfitri lepas, sepatutnya orang ramai boleh bergembira kerana hanya beberapa jam lagi suasana meriah akan disambut. Namun bagi sesetengah penduduk di daerah Pusa, sebaliknya.

Mereka berdepan suasana cemas, malah menyakitkan hati.

Pesara kerajaan, Wan Ahmad Wan Dahlan. 47, berkongsi pengalaman itu dengan Malaysiakini ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya pada malam itu bekalan elektrik dan air terputus dari petang membawa ke malam, sekali gus mengganggu persiapan penduduk untuk merayakan hari lebaran seperti sepatutnya.

Pusa ialah daerah yang terletak di antara Sri Aman dan Sarikei. Menurut laporan Rancangan Malaysia ke-12 Pusa merupakan daerah paling miskin di Sarawak pada 2019.

Ketika diajukan tentang status ‘termiskin’ daerah tersebut , ada antara penduduk yang tidak melepaskan peluang meluahkan harapan mereka untuk melihat perubahan.

Rata-ratanya bercakap tentang gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku dan liputan internet yang lemah, serta keadaan jalan yang teruk.

“Jalan raya pun tak elok. Lebih banyak yang bahaya daripada yang selamat,” kata Wan Ahmad yang ditemui di Kampung Pusa.

Tak dapat liputan langsung

Seorang peniaga makanan di Pekan Pusa mendakwa, ada kalanya bekalan elektrik terputus beberapa kali hanya dalam temoh sehari. Pada ketika tertentu ia menjangkau sehingga setengah hari menyebabkan bahan mentah yang disimpannya di dalam peti sejuk rosak dan busuk.

“Peluang pekerjaan pun kurang di sini,” kata wanita berusia 55 tahun itu.

Sesetengah penduduk juga melahirkan rasa kecewa terhadap liputan rangkaian internet yang terlalu lemah menyebabkan ada sesetengah terpaksa menggunakan peranti penggalak (booster).

Itu juga melibatkan perbelanjaan tambahan yang dianggap sepatutnya tidak perlu.

“Internet memang perlahan. Kena beli booster sendiri yang mahal. Kalau tak guna, tak dapat (internet), ketinggalan budak-budak hendak belajar secara maya,” kata Zaidil, 45, yang merupakan peniaga pakaian terpakai di Pekan Pusa.

Namun, dek kerana ramai yang menggunakan penggalak, ia menimbulkan masalah sampingan pula kepada mereka yang tidak mempunyai peranti tersebut. Malah ada pengguna yang langsung tidak menerima isyarat internet, seperti disuarakan suri rumah, Farahin, 30.

Satu lagi isu yang disuarakan sesetengah penduduk ialah bagaimana mereka tidak melihat apa-apa perubahan dari segi pembangunan berlaku di kawasan itu.

Pusa ialah daerah kecil berkeluasan 362.47km persegi dan terletak dalam DUN Beting Maro di bawah Parlimen Batang Lupar. Ada sembilan kawasan dalam daerah berkenaan iaitu Pekan Pusa, Kampung Pusa, Kampung Kalok, Kampung Tambak, Kampung Tuie, Kampung Serabang, Kampung Dato' Godam, Kampung Dayang Esah, dan Kampung Beladin.

Di Kampung Pusa dan Kampung Beladin, rumah-rumahnya terbina rapat antara satu sama lain, dengan jalan utama sempit walaupun berturap. Ia bercabang-cabang ke banyak jalan kecil. Banyak juga kereta penduduk diletakkan di bahu jalan.

Pun begitu, ia kelihatan seperti perkampungan biasa, tidak seperti bayangan setinggan yang sering dikaitkan dengan daerah paling miskin. Setidak-tidaknya begitulah keadaan di dua kampung berkenaan.

Yem, 63, menyifatkan PRN kali ini sukar dijangka kerana menurutnya, kemenangan sudah tidak boleh diukur daripada kemeriahan bendera semata-mata.

“Kalau ikut orang, tak dapat dipastikan. Budak-budak sekarang dah bijak pandai, semua tak nak tunjuk rupa mereka (menyokong siapa),” katanya ketika ditemui di Beladin.

Yem merupakan seorang daripada 11,095 pengundi di DUN Beting Maro yang menyaksikan pertembungan lima penjuru antara penyandang dua penggal Razaili Gapor dari Gabungan Parti Sarawak - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (GPS-PBB), Mohammad Arifiriazul Paijo (PAS), Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR), Jacky Chiew Su Chee (Parti Bumi Kenyalang - PBK), dan Safiudin Matsah sebagai calon bebas.

Bukan di Beting Maro saja

Dua calon pembangkang yang utama ialah Arifiriazul dan Abang Zulkifli. PAS menunjukkan prestasi baik semasa PRN 2011 dan 2016 di Beting Maro. Abang Zulkifli pula merupakan timbalan pengerusi PKR Sarawak.

Ketika melawat Kampung Pusa Sabtu lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim meluahkan rasa kesal apabila kawasan itu tersenarai sebagai daerah termiskin, sedangkan Sarawak dakwanya adalah negeri terkaya.

Katanya, penduduk “di daerah paling miskin” harus bangkit untuk menyatakan sikap, dan memilih untuk melakukan perubahan kali ini. Sentimen yang sama disuarakan Abang Zulkifli dalam ucapannya.

Razaili, ketika dihubungi, memberitahu Malaysiakini, meskipun isu gangguan elektrik dan internet lemah sering dijadikan modal oleh pihak lawan, masalah itu sebenarnya bukan terjadi di Beting Maro sahaja, tetapi di seluruh Sarawak, terutamanya kawasan yang masih menggunakan sistem gelombang.

Katanya, perancangan untuk menambah baik keadaan sedang dijalankan dan Sarawak bahkan bakal menjadi antara negeri terawal menerima rangkaian 5G.

Menjawab kritikan tentang pembangunan di Pusa, akui Razaili, sememangnya ada kelewatan terhadap beberapa projek akibat wabak Covid-19 seperti pembinaan dewan, pejabat kerajaan, jeti, pusat ekonomi dan sebagainya, selain terkesan dengan sekatan pergerakan.

Tambahan pula, katanya, Pusa menjadi daerah penuh pada 2015, dan mengambil sedikit masa untuk menyediakan semua kemudahan bertaraf daerah, dan ia sedang dilakukan secara berperingkat.

Razaili turut mempersoalkan status daerah termiskin untuk daerah Pusa dengan menyifatkan pendapatan mereka - yang rata-ratanya nelayan dan peladang - adalah baik.

Tambahan pula, katanya, harga ikan dan sawit yang semakin meningkat.

Kata Razaili, sebaik sahaja dilaporkan tentang Pusa menjadi daerah termiskin, dia terus mengadakan pertemuan dengan pegawai daerah, serta Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Masyarakat Sarawak, Fatimah Abdullah.

Katanya, antara faktor yang mungkin menyebabkan Pusa tergolong dalam daerah termiskin adalah kerana ramai penduduk mendaftar untuk e-kasih, meskipun mereka mungkin tidak tergolong dalam kumpulan yang memerlukan.

Razaili Gapor

Kemudahan e-kasih ialah sistem pangkalan data bersepadu isi rumah miskin bagi membasmi kemiskinan tegar. Pemohon yang berjaya akan menerima bantuan tunai.

“Kerja-kerja pemutihan ini amat sukar. Kalau kita lihat dari mata kasar, memang mereka ini bukan tergolong dalam kumpulan itu,” katanya yang menyifatkan keadaan sebenar tidak selari dengan rekod kemiskinan dalam daftar e-kasih. .

Menceritakan tentang rancangannya, secara umum dia membahagikan DUN itu kepada enam sektor khusus mengikut kawasan untuk memperkasa ekonomi penduduk, iaitu sektor kelapa, nipah, kelapa sawit, nanas, perikanan, serta pelancongan.

Razaili juga merancang memperkasa setiap sektor bagi meningkatkan lagi pulangan ekonomi. Contohnya pusat pengumpulan dan pemprosesan kelapa selain memfokuskan pada produk terbitan hasil tanaman. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS