mk-logo
Berita
Noor Hisham seru masyarakat cakna SMS, peringatan MySejahtera
Diterbitkan:  Dec 16, 2021 8:10 AM
Dikemaskini: 12:10 AM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa orang ramai agar sentiasa mengambil tahu akan peringatan SMS atau MySejahtera bagi mengelakkan mereka terlepas janji temu mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19.

Selain itu katanya orang ramai juga wajar membalas peringatan itu bagi memaklumkan pihak yang berkenaan sama ada mereka bersetuju menerima dos berkenaan atau sebaliknya.

"Masyarakat diingatkan agar sentiasa cakna dengan pemakluman di telefon masing-masing agar tidak terlepas tarikh janji temu yang diberikan dan menyatakan sama ada bersetuju untuk menerima dos penggalak atau tidak.

"Sekiranya terlepas tarikh janji temu yang diberikan, adalah disarankan agar anda menghadirkan diri di pusat pemberian vaksin (PPV) terdekat untuk pendaftaran senarai menunggu," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Noor Hisham kerajaan telah memaklumkan kepada orang ramai tentang janji temu untuk dos penggalak melalui SMS dan pemberitahuan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan proses tersebut.

"Sehingga 14 Dis 2021, sebanyak 3,944,858 dos penggalak Covid-19 telah berjaya diberikan.

"Bagi mempercepatkan lagi pemberian dos penggalak ini, KKM memberi pemakluman kepada penerima dos penggalak dengan penghantaran tarikh temujanji melalui pesanan ringkas ke telefon pintar ataupun melalui aplikasi Mysejahtera," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS