Pakatan Harapan (PH) tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang dibentang semalam dan dijangka bakal dibahaskan esok.
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pendirian itu dibuat walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan tiga pindaan berbanding draf asal pada Akta 342 tersebut.
Kata Saifuddin selepas meneliti pindaan tersebut PH berpendapat RUU berkenaan masih menyediakan ruang yang luas kepada amalan dwistandard serta penyelewengan lain dalam pelaksanaannya.
"Walaupun satu pindaan tambahan dibawa hari ini yang mengurangkan hukuman bagi RUU ini, ahli-ahli parlimen PH berpandangan ia tetap membuka ruang yang luas untuk berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan antara dua darjat," katanya dalam kenyataan malam ini.
Kerajaan dalam proses meminda Akta 342 bagi membolehkan seseorang pesalah atau badan yang didapati melanggar peraturan dikenakan hukuman lebih berat.
Asalnya pindaan tersebut mencadangkan hukuman maksimum RM100,000 kepada pesalah individu dan RM1 juta untuk badan korporat. Akta sama juga menyediakan peruntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
Menurut KKM jumlah kompaun tersebut adalah merupakan had maksimum yang dicadangkan dan ia tertakluk kepada penilaian pihak berkuasa.
Bagaimanapun selepas mendapat bantahan, hari ini KKM menyatakan RUU tersebut akan dipinda bagi mengurangkan jumlah maksimum kompaun dan hukuman penjara.
Akta 342 sekarang memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan untuk mengenakan denda maksimum hanya RM1,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard, seperti kegagalan memakai topeng muka di tempat awam.
Menurut Saifuddin bangkangan terhadap RUU tersebut sudah disampaikan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini namun kerajaan tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan perbahasan mengenainya.
Justeru kata ahli parlimen Kulim-Bandar Baru itu lagi PH mengambil sikap untuk tidak menyokong RUU dalam bentuk yang telah dibentang.
"PH menggesa kerajaan khususnya Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk menarik balik RUU ini dan mengadakan perbincangan mendalam dengan kami serta pembangkang amnya, agar pindaan yang lebih baik dapat diperolehi dan dipersetujui bersama," katanya.