Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amerika pertimbang tingkatkan tekanan pada Myanmar
Diterbitkan:  Dec 15, 2021 5:33 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti langkah-langkah tambahan yang harus diambil terhadap junta tentera Myanmar, kata Setiausaha Negara Antony Blinken.

Katanya, pemimpin-pemimpin Asia Tenggara juga dijemput untuk berbincang dalam sidang kemuncak bersama Presiden AS Joe Biden, lapor Reuters.

Blinken berkata demikian semasa lawatannya ke Malaysia. 

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata undangan untuk sidang kemuncak itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) pada 19 Januari.

"Kami sangat berharap untuk mengadakan sidang kemuncak khas dengan Asean tahun depan," kata Blinken.

Blinken dan Saifuddin

Myanmar berada dalam keadaan kekacauan sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan pemenang hadiah Nobel Aung San Suu Kyi pada 1 Februari. 

Ia menyaksikan protes dan penentangan bersenjata berbalas tindakan keras junta.

Asean memimpin usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis tetapi beberapa anggota blok itu telah menyatakan kekecewaan terhadap kemajuannya yang perlahan. 

Myanmar dikecualikan daripada mesyuarat Asean baru-baru ini.

"Dalam beberapa minggu dan bulan akan datang, penting untuk kita melihat apakah langkah dan usaha yang boleh diambil secara individu dan kolektif untuk menekan rejim, untuk meletakkan negara kembali pada landasan demokrasi," kata Blinken.

Menurut Blinken, AS akan terus “melihat secara aktif” sama ada apa yang berlaku di Myanmar mungkin berbentuk penghapusan kaum.

Pelarian Rohingya cuba melarikan diri ke Bangladesh

Lebih 730,000 minoriti Muslim Rohingya telah melarikan diri daripada wilayah Rakhine, Myanmar pada ogos 2017 selepas tindakan keras tentera. Pelarian mendakwa ia termasuk pembunuhan besar-besaran dan rogol.

Pendahulu Blinken, Mike Pompeo, digesa untuk mengisytiharkan secara rasmi sebagai penghapusan kaum, tetapi dia memilih untuk tidak melakukannya, di sebalik penyiasatan dan analisis bertahun-tahun, menurut siasatan Reuters awal tahun ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS