Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah dengar kes guru muslim cabar keabsahan SJKC, SJKT 20 Mac 2022
Diterbitkan:  Dec 15, 2021 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Mahkamah Tinggi Kota Bharu menetapkan 20 Mac tahun depan untuk pendengaran penuh kes tuntutan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (IGMM) berhubung keabsahan sekolah vernakular, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKT) di Malaysia.

Peguam kumpulan itu Shaharudin Ali berkata, Hakim Mohamad Abazafree Mohd Abbas menetapkan tarikh perbicaraan semasa pengurusan kes perkara itu awal hari ini.

Peguam itu berkata mahkamah mengarahkan pihak terlibat untuk memfailkan hujahan bertulis mereka selewat-lewatnya pada 28 Feb tahun depan.

"Pendengaran penuh hujahan lisan oleh para peguam ditetapkan pada 20 Mac 2022, jam 2.30 petang secara kehadiran fizikal di mahkamah," kata Shaharudin pada satu kenyataan media hari ini.

Pada 20 Feb tahun lepas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, IGMM, melalui Presidennya Mohd Azizee Hasan, memfailkan tuntutan undang-undang itu untuk mencabar kedudukan sekolah vernakular dari sudut perlembagaan.

Tindakan undang-undang itu menamakan kerajaan persekutuan dan menteri pendidikan (yang tidak dinamakan) sebagai defendan.

Kumpulan itu memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, sebagai tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 17 Akta Pendidikan menetapkan bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan di bawah Seksyen 28 atau lain-lain yang diberi pengecualian oleh menteri pendidikan.

Seksyen 28 akta yang sama membenarkan menteri pendidikan menubuhkan kedua-dua sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Selain IGMM, kumpulan lain seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) juga sebelum ini memfailkan tindakan undang-undang yang sama untuk memaksa sekolah vernakular menggugurkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah menetapkan 29 Dis tahun ini untuk keputusan mengenai cabaran undang-undang oleh GPMS, Mappim dan Gapena.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS