Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan Akta 342: KKM guna kaedah penalti tiga tahap

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan sistem penalti tiga peringkat semasa mengeluarkan kompaun terhadap pesalah yang melanggar prosedur antipandemik.

Berdasarkan taklimat diberikan KKM hari ini, sistem itu adalah sebahagian daripada garis panduan yang sedang disediakan untuk dilaksana apabila - dan jika - cadangan pindaan mereka terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) diluluskan parlimen.

Akta 342 ketika ini memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan untuk mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, seperti gagal memakai topeng muka. di tempat awam.

Bagaimanapun melalui pindaan yang dicadangkan KKM kepada parlimen, pesalah mungkin berdepan denda sehingga RM100,000 atau penjara untuk tempoh maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Menurut Pegarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Nurhayati Rusli, sebelum kompaun dikeluarkan kepada seseorang, pihak berkuasa kesihatan boleh menentukan tahap keseriusan kesalahan berkenaan.

“Akan ada garis panduan bagaimana untuk menentukan jumlah kompaun.

"Kami akan berikan garis panduan ini secara terperinci sebelum mula mengeluarkan kompaun (terhadap pesalah).

"Ia akan merangkumi setiap aspek kesalahan, berapa banyak kompaun yang akan dikenakan, dan berapa lama mereka perlu menjelaskan bayaran.

“KKM akan pastikan penilaian dibuat mengikut kategori antara satu, dua atau tiga," katanya pada sesi taklimat yang diadakan melalui aplikasi Zoom petang tadi.

Menurut Nurhayati, kategori satu merupakan kesalahan yang mempunyai risiko paling tinggi untuk merebakkan penyakit atau memberi impak besar kepada masyarakat.

"Ia akan berdasarkan kepada penilaian risiko," tambahnya.

KKM juga akan mengambil kira kesalahan yang dilakukan seseorang sama ada pelanggaran kali pertama atau berulang semasa menentukan nilai hukuman.

Keputusan muktamad di parlimen

Sesi taklimat tersebut diadakan ketika perbincangan dibuat mengenai cadangan KKM untuk meminda undang-undang berkaitan, yang antara lain akan memberi mereka kuasa untuk mengenakan kompaun yang didakwa ramai sebagai berlebihan.

Berdasarkan pembentangan Norhayati, KKM mencadangkan kompaun maksimum ke atas pesalah individu dinaikkan kepada RM10,000, manakala bagi sebuah organisasi menjadi RM1 juta.

Contoh kesalahan tersebut ialah kegagalan memastikan penjarakan fizikal, pengamal perubatan gagal mengeluarkan notis mengenai ancaman wabak, dan aktiviti di premis seperti kelab malam atau restoran yang melanggar akta.

Bagi penalti am, KKM mencadangkan kompaun maksimum RM100,000 ke atas individu atau penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau kedua-duanya.

Penalti am hanya ditetapkan untuk kesalahan yang tidak dinyatakan secara jelas jumlahnya dalam pindaan akta tersebut.

Contoh kesalahan yang diberikan Norhayati termasuk menghalang mana-mana pegawai yang diberi kuasa daripada menjalankan tugas mereka, gagal mematuhi mana-mana perintah yang dikeluarkan secara sah oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa, mengelak daripada memberikan maklumat yang dikehendaki oleh pihak berkuasa, dan memberikan palsu.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu jumlah itu hanyalah cadangan yang dikemukakan KKM namun sebarang keputusan akhir terletak pada ahli parlimen.

"Kadar yang KKM cadangkan ialah jumlah maksimum, tetapi dalam pelaksanaannya kami bukan semestinya menggunakan (kadar)

"Kadar maksimum ini hanya untuk pesalah berulang dan kesalahan yang mempunyai impak tinggi bagi penyebaran penyakit, mengancam nyawa dan seumpama dengannya," kata Noor Hisham.

Sebagai contoh, katanya, jumlah RM10,000 yang dicadangkan itu adalah jumlah maksimum namun senarai kesalahan akan dimasukkan secara terperinci dalam garis panduan.

Kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, kata Noor Hisham, tidak akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000.

"Ini adalah cadangan. Jawatankuasa pilihan parlimen akan membincangkannya dengan lebih lanjut," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS